Oleh Norizuan Shamsudin

Machang: Seorang pemandu pikap maut manakala tiga ahli keluarganya parah selepas kenderaan yang dipandunya berlanggar dengan sebuah bas dalam kejadian di Jalan Lama Kota Bharu-Kuala Krai di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 12.30 pagi tadi itu Zamzuri Haron, 45, meninggal dunia jam 4.30 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Machang selepas mengalami kecederaan parah di badan dan kepala.

Tiga ahli keluarganya termasuk isteri dan dua anaknya parah dan sedang menerima rawatan di hospital sama manakala seorang lagi anaknya cedera ringan.

Pemandu bersama 42 penumpang bas terdiri dari murid tahun enam dan dua guru Sekolah Rendah Ibnu Qayyim, Kuala Terengganu tidak mengalami kecederaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Kamal Azural Mohamed berkata, bas yang datang dari arah Pasir Puteh dikatakan tidak sempat mengelak sebelum melanggar sebuah pikup yang datang dari arah Kota Bharu.

Katanya, difahamkan ketika kejadian lampu isyarat di lokasi kejadian tidak berfungsi

"Pemandu pikap itu meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan manakala tiga ahli keluarganya parah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 12:59 PM