Keadaan kereta mangsa. FOTO IHSAN PDRM
Keadaan kereta mangsa. FOTO IHSAN PDRM
Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Wanita warga emas bersama cucu perempuannya maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 42 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Kampung Pangkal Changgong, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 5.10 pagi, mangsa Nurin Damia Mohd Nizam, 14, maut di tempat kejadian akibat parah, manakala Che Hasnah Jusoh, 67, pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Machang.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati Perodua Alza yang dipandu lelaki berusia 26 tahun yang juga anak kepada Che Hasnah dipercayai terbabas sendiri.

Menurutnya, kenderaan berkenaan dikatakan dari arah Kuala Lumpur untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Bunut Tok Mak Teh Labok, di sini.

"Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu lelaki berkenaan terbabas ke kiri jalan dan melanggar penghadang jalan.

"Akibat rempuhan itu, Perodua Alza yang dinaiki tiga sekeluarga itu mengalami kerosakan teruk," katanya menerusi kenyataan, di sini.

Mohd Adli berkata, anak saudara kepada pemandu MPV berkenaan yang berada di tempat duduk penumpang belakang mengalami kecederaan serius di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian

Menurutnya, pihaknya kemudian menerima panggilan daripada Hospital Machang memaklumkan penumpang kedua disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan kira-kira 8.30 pagi.

Katanya, pemandu kenderaan itu yang turut cedera dirawat di Hospital Machang, manakala mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik untuk tindakan lanjut.

"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 4:19 PM