PASUKAN olahraga diumumkan Pasukan Terbaik Anugerah Sukan PDRM Kontinjen Kelantan 2017.
PASUKAN olahraga diumumkan Pasukan Terbaik Anugerah Sukan PDRM Kontinjen Kelantan 2017.
Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Pasukan olahraga Kontinjen Kelantan diumumkan sebagai Pasukan Terbaik Keseluruhan pada Anugerah Sukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan 2017, baru-baru ini.

Pasukan itu terdiri daripada 18 atlet lelaki dan tiga wanita menjadi penerima pertama anugerah itu yang julung kali diadakan untuk mengiktiraf bakat sukan pegawai serta anggota polis negeri.

Mereka menewaskan beberapa pasukan lain termasuk karom dan bowling serta membawa pulang hadiah plak, sijil penghargaan dan wang tunai yang disampaikan Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.

Turut serta Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Din Ahmad.

Jurulatih pasukan itu, Koperal Mohamad Haziri Bolhi berkata, latihan sistematik dan stamina adalah kekuatan pasukan itu hingga mendorong mereka mencapai kejayaan.

“Kami juga mengutamakan semangat berpasukan dalam memburu kejayaan bagi setiap acara atau pertandingan diikuti seperti larian, lontar peluru dan lompat tinggi.

“Alhamdulillah rezeki kami apabila diumum Pasukan Terbaik Sukan PDRM Kontinjen Kelantan kali pertama, tahun ini,” katanya.

Menurutnya, pasukan itu berpengalaman menyertai banyak pertandingan termasuk merebut Piala Ketua Polis Negara selain kejohanan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK) Malaysia, Kesatuan Olahraga Amatur Kelantan dan Maraton PDRM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 9:26 AM