Oleh Dang Setia

Saya sudah berkahwin hampir 15 tahun atas dasar cinta. Saya mengenali suami ketika menuntut di luar negara.

Saya budak kampung dan suami pula orang berada. Terdapat jurang dari segi latar belakang keluarga serta cara dibesarkan membuat kami tidak sependapat.

Suami saya selalu ‘tuang’ solat. Masa mula-mula kahwin dia solat tetapi cuma di depan orang tua saya. Apabila di rumah, dia tidak menunaikannya.

Dulu saya tegur dia boleh terima, sekarang sikapnya jauh mahu menerima malah saya dituduh derhaka.

Saya boleh bersabar tetapi sekarang peri lakunya itu membuatkan anak kerap bertanya. Saya menegur anak tetapi bapa mereka pula tunjuk sikap berbeza. Saya serba salah dan sekarang boleh dikatakan kami tidak tidur sekatil kerana saya tidak dapat menghormatinya lagi.

Sebaik saya menegur, suami akan marah malah dia mengata saya gemar membebel. Suami minta saya terima dia seadanya. Dia enggan mendengar nasihat saya.

Saya tidak mahu terus dihimpit rasa dosa selain sudah tawar hati dengan perkahwinan yang makin lama makin dingin ini.

BIA, Subang Jaya, Selangor

Tidak dinafikan keindahan di sebalik perasaan cinta ialah kesanggupan pasangan mengharungi kesukaran dalam menjayakan hubungan berkenaan. Sama ada perbezaan segi kulit, warna mahupun latar belakang semua sanggup ditempuh.

Potensi jurang itu dirapatkan itu bergantung pada toleransi serta objektif pasangan itu dalam mendirikan hubungan perkahwinan. Bagi Dang Setia, toleransi perlu diiring dengan inisiatif ingin membantu pasangan menunaikan suruhan agama.

Isu latar belakang ada kalanya isi yang sangat penting dalam sesuatu perkahwinan. Malah seawal pemilihan jodoh yang disebutkan dalam hadis Nabi SAW memberi gambaran keserasian itu dilihat pada empat perkara.

“Dikahwini wanita itu (untuk dijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu hartanya, keturunannya, kecantikan dan agama. Maka utamakanlah (dalam pemilihanmu itu) wanita yang kuat beragama, nescaya kamu beruntung”. (HR. al-Bukhari dan Muslim).

Justeru sebaik tiba di pertengahan jalan, langkahnya bertambah sukar dan memerlukan puan bekerja keras untuk menyedarkan suami. Sama ada puan sanggup meneruskan perkahwinan atau tidak, terletak di tangan puan.

Namun sebaik-baiknya isteri adalah mereka yang berusaha membantu suami pulang ke pangkal jalan, jihadnya itu cukup besar. Dalam waktu lain, puan kuatkan amalan memperkukuhkan jati diri agar usaha membantu suami mendalami atau kembali ke jalan agama lebih mudah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2015 @ 12:44 AM