Oleh Dang Setia

Suami saya gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan betul. Dia bukan saja gagal beri nafkah kepada saya dan anak, malah mementingkan diri.

Sejak bersalin anak kedua lebih 10 tahun lalu, suami langsung tidak beri nafkah. Apabila saya menegur, dia meninggikan suara dan menuduh saya isteri ‘nusyuz’ yang tidak layak diberi nafkah.

Sebaik saya minta penjelasan mengenai tuduhan tidak berasas itu, suami mengangkat tangan kepada saya. Saya tidak tahu atas tujuan apa dia menuduh saya sedemikian.

Saya pendam segala tindak-tanduk suami. Sudahlah tidak beri nafkah, suami mencerca saya dengan perkataan ‘bodoh’ dan ‘ortodoks’. Bayangkan saya terpaksa menyara sendiri dua anak manakala suami hanya balik rumah tanpa melaksanakan tanggungjawabnya.

Saya masih bertahan tetapi sampai bila? Saya bimbang orang tua akan risau apabila saya bertindak, sedangkan saya tidak mahu menyusahkan mereka.

CUMI, Klang, Selangor

Hadapi suami yang ‘bongkak’ dengan ilmu, keberanian dan sabar. Sikap suami puan tidak ubah seperti peribahasa lama, ‘bagai jawi belang puntung: didahulukan dia menyepak, dikemudiankan dia menanduk’.

Maksudnya, orang cetek ilmu tidak boleh diajak berunding. Rasa ego dan bongkak kerana memegang ‘tampuk’ sebagai ketua keluarga, dia sembarangan menuding jari kepada puan dengan tuduhan ‘nusyuz’.

Berbanding menunjuk karismanya selaku ketua keluarga, di sini jelas kejelikan pada sikap suami yang nyata bebal kerana mahu melepaskan tanggungjawabnya dengan mengalihkan kesalahan itu terhadap puan. Selaku isteri, puan mempunyai hak mempertikaikan tindak-tanduknya gagal beri nafkah.

Hadis dengan jelas meletakkan puan dan anak dalam keutamaan berbanding ugutan ‘nusyuz’ menerusi hadis dari Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Aisyah bahawa Hindun binti Utbah, isteri Abu Sufyan mengadu kepada Rasulullah SAW:

“Ya Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan seorang yang kedekut. Dia tidak beri nafkah kepadaku dan anakku kecuali apa yang aku ambil daripada hartanya tanpa pengetahuannya.” Baginda menjawab: “Ambillah apa yang mencukupi untukmu dan anakmu dengan cara yang makruf.”

Elak rasa bersalah untuk menuntut hak puan. Yakinkan diri selain dapatkan nasihat pihak berwajib untuk pihak seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2015 @ 12:47 AM