GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Suriany Awaludin

SEBELUM berkahwin, saya seorang wanita yang agak sosial kerana mempunyai ramai teman lelaki.

Begitu juga suami, dia juga mempunyai perangai sama ketika kami berkawan dahulu. Usia perkahwinan kami sekarang memasuki lima tahun.

Suami sebenarnya terlalu cemburu hinggakan jika saya keluar makan bersama rakan lelaki di pejabat pun dia marah.

Memang saya rapat dengan seorang lelaki di pejabat dan selalu keluar makan bersama.

Tindakan saya itu tidak disenangi suami menyebabkan dia marah sehingga tergamak memukul saya.

Dia ada mengingatkan saya supaya tidak lagi keluar dengan mana-mana kawan lelaki di pejabat walaupun ada bersama kawan wanita lain.

Pertelingkahan kami juga diketahui keluarga mentua dan segala-galanya sudah diceritakan kepada mereka.

Saya berasa amat tertekan tambahan lagi keluarga mentua mula tidak mengendahkan saya.

Tanggungjawab suami isteri dalam perkahwinan amat berat. Selain kewajipan suami mencari nafkah bagi menyara diri serta keluarga, kewajipan menjaga maruah dan memastikan ahli keluarga di bawah jagaannya tidak berterusan berada dalam keadaan banyak melakukan dosa.

Bagi individu yang sudah berumah tangga, hendaklah sentiasa menjaga nama baik diri, pasangan dan ahli keluarga.

Suami tidak boleh lagi mengamalkan gaya hidup seorang bujang. Begitu juga isteri, dia harus menyedari atas keizinan dan kepercayaan suami dia dapat keluar bekerja.

Elakkan interaksi dan hubungan boleh menimbulkan fitnah dan syak wasangka.

Dalam urusan memerlukan hubungan antara lelaki dan wanita di tempat kerja, pastikan interaksi atas dasar hormat- menghormati dan sopan santun.

Antara pesanan Rasululllah SAW ialah berhati-hati memilih kawan. Sabda Baginda SAW: “Seseorang itu berada di atas agama kawannya, maka hendaklah setiap dari kamu memerhati dengan siapa dia berkawan.” (Hadis Riwayat Imam Abu Daud dan at-Tirmizi dari Abu Hurairah)

Suami tidak boleh terlalu menyekat isteri bergaul dengan orang sekeliling terutama dengan keluarga dan rakan-rakan wanita yang solehah.

Namun, suami wajib menegah isteri dengan hubungan dilarang agama seperti lelaki bukan mahram berhubung tanpa keperluan, bergaul dengan wanita fasik (tidak menjaga agama), bertandang ke tempat maksiat atau mendorong kepada maksiat.

Syariat Islam amat mengambil berat hubungan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi (iaitu tiada hubungan mahram atau hubungan suami isteri) di mana ia menyempitkan hubungan dan pergaulan antara kedua-duanya hanya kepada keperluan (bukan kebebasan). Kebebasan akan mendorong kepada zina.

Oleh itu, suami perlu mengimbangi kehidupan keluarganya antara kebebasan dan sekatan. Jangan memberi kebebasan tanpa batasan dan jangan pula terlalu mengongkong.

Suami boleh membenarkan, tetapi pada masa sama perlu bertegas dalam perkara tertentu.

Sikap cemburu suami jika berasas itu tanda iman.

Namun, cemburu tanpa berasas adalah tanda penyakit hati.

Sabda Nabi SAW: “Cemburu ada dua; satunya disukai Allah dan satu lagi dibenci Allah. Cemburu jika berpunca dari keraguan/kegusaran, ia disukai Allah. Namun jika tidak datang daripada sebarang keraguan, ia dibenci Allah.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad, at-Thabrani dan al-Hakim dari ‘Uqbah bin ‘Amir) Di dalam hadis, Rasulullah bersabda; “Tidak akan masuk syurga lelaki yang dayus” (Hadis Riwayat Imam at-Tayalisi dari ‘Ammar)

Maksud dayus ialah lelaki yang hilang perasaan cemburu terhadap nilai dirinya di mana dia tidak kisah siapa lelaki yang bersama isteri atau anak perempuannya, dengan siapa mereka keluar dan dia tidak mengambil berat akhlak dan tingkah laku mereka (al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah)

Oleh itu, tindakan suami yang marah dan menegah perbuatan dan kebiasaan puan keluar makan bersama dengan rakan lelaki sepejabat adalah dituntut syarak.

Namun tindakan menegur dan membimbing isteri perlu memenuhi ajaran Islam juga.

Bagi isteri pula, hendaklah menunjukkan kesungguhan untuk berubah. Tegahan suami itu ada asasnya dan perlu dipatuhi.

Jika puan berjaya memulihkan hubungan dengan suami, hubungan dengan ahli keluarganya pula akan beransur-ansur pulih.

Tiada sebarang kebebasan untuk perkara melainkan ia satu keperluan yang tidak dapat dielakkan.

>>Penulis peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 8:55 AM