Oleh Ustaz Haslin Baharin

Saya sudah berkahwin selama 15 tahun dan bergelar isteri kedua. Saya ingin menuntut fasakh kerana perangai suami yang sering memukul saya setiap kali berlaku pertengkaran.

Saya juga menanggung nafkah zahir selama perkahwinan ini termasuk kos bersalin empat anak, yuran sekolah malah persiapan hari raya. Suami cuma lepas tangan dalam tanggungjawab ini.

Meskipun dia mempunyai tiga anak dengan isteri pertama, ia bukan lesen kepada dia untuk menafikan hak anak saya. Masalahnya perkahwinan ini dilakukan di Thailand dan tidak didaftarkan di Malaysia. Apakah proses untuk saya membatalkan perkahwinan ini?

Bagi saya, perkahwinan ini adalah seksaan fizikal dan mental sedangkan suami seharusnya melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Saya perlu menyelesaikan masalah ini mengikut undang-undang supaya kepentingan anak pada masa depan terpelihara.

LINA, KL

Masalah yang timbul adalah lanjutan daripada perkahwinan tidak didaftarkan. Bagaimana hendak membatalkan atau fasakh perkahwinan itu kerana tiada maklumat yang hendak dirujuk. Kecuali hendaklah dibicara untuk mengetahui status sebenar perkawinan tersebut.

Justeru, usaha utama adalah memastikan dan mengesahkan status perkahwinan puan. Iaitu berkahwin dengan lelaki tersebut dengan mengikut syarak berdasarkan rukun nikah seperti membabitkan puan dan suami, wali, dua saksi dan akad yang dilakukan.

Puan perlu sediakan dokumen, bukti dan saksi bagi memastikan pernikahan dengan lelaki berkenaan adalah sah. Jika sah, barulah boleh dituntut fasakh. Jika tidak sah, maka tiada apa yang diboleh dituntut kerana pernikahan tidak sah dan anak itu juga tidak dapat dinasabkan kepada ayahnya akibat nikah yang tidak boleh dipastikan kesahihannya.

Ini kesan tidak mendaftarkan pernikahan jika mereka bernikah di luar atau bernikah melalui sindiket. Semoga menjadi peringatan bagi kita bersama.

Mungkin puan boleh memohon kerjasama dan memujuk suami untuk menyelesaikan masalah ini bersama supaya kesilapan dan kesalahan lalu tidak menyulitkan kita di akhirat.

Di sinilah pentingnya setiap tindakan daripada pemerintah yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan Sunah dituruti.

Sebagaimana firman Allah SWT bermaksud; “Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya, dan ulil amri (pemerintah) di antara kamu.” (Surah an-Nisa: 59). Selesaikanlah urusan puan satu persatu dengan merujuk kepada pejabat agama dan mahkamah syariah.

Anggaplah ia satu ujian dan pengajaran buat puan. Semoga Allah SWT mengganjari puan dengan kebahagiaan yang sebenarnya di akhirat kelak. Amin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2016 @ 12:31 AM