FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Kemusykilan Syariah Bersama Suriany Awaludin

Bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah suami mengaku dia masih menyimpan perasaan sayang kepada bekas kekasihnya?

Dia jenis orang yang suka berterus terang. Apabila mendengar pengakuannya itu, saya ambil keputusan tidak menegurnya lebih dua minggu.

Sepanjang tempoh itu juga saya tidak memasak, tidak membasuh dan menggosok pakaiannya selain kami juga tidur bilik berasingan.

Namun, suami tidak am-bil kisah semua itu apabila dia membuat sendiri kerja rumah berkenaan. Mungkin dia tidak mahu kami bergaduh.

Selepas itu, dia datang memujuk saya. Akhirnya, kami kembali berbaik semula. Saya ada bertanyakan sejauh mana hubungan dia dengan bekas kekasihnya itu, namun suami tidak mahu menjawab dan meminta saya tidak lagi bertanyakan hal itu.

Saya sebenarnya bimbang sekiranya dia masih meneruskan hubungan itu di luar pengetahuan saya.

Setahu saya, bekas kekasihnya itu sudah bertunang. Perkara itu pastinya akan mendatangkan masalah lebih buruk jika diketahui tunang wanita berkenaan.

Saya juga sentiasa percaya, jika dia menyembunyikan sesuatu pasti Allah SWT akan tunjukkan juga kebenarannya.

Hani

Melaka

Bukan mudah untuk memastikan perjalanan rumah tangga dalam keadaan harmoni, saling mempercayai serta berusaha mengukuhkan kasih sayang seperti pada awal perkenalan dan percintaan.

Suami mahupun isteri mempunyai sejarah hidup dalam hubungan membabitkan hati dan perasaan sebelum ditamatkan dengan ikatan perkahwinan.

Orang-orang tua dulu sering mengingatkan anak-anak, adakah mereka benar-benar bersedia untuk berkahwin?

Persediaan yang dipersoalkan bukan hanya tertumpu pada isu material atau kewangan, tetapi termasuk juga isu perasaan dan tanggungjawab.

Tiada siapa mampu memikirkan diri mereka akan berdepan masalah rumah tangga sehingga ia mengganggu ketenangan.

Seperti yang dialami puan, dalam kebaikan sikap suami yang amat berterus terang, rupa-rupanya ada perkara yang tidak menjadi rahsia buat suami sehingga ia menyebabkan hati isteri terluka.

Cuba puan letakkan diri di tempat suami. Apa niat puan menyatakan perkara itu kepada suami puan?

Apakah puan sengaja mencari punca perbalahan dan menyebabkan ‘bergoncang’ keamanan rumah tangga?

Atau puan sekadar menyampaikan isi hati bagi bertindak jujur kepada pasangan agar pasangan kelak akan berbuat perkara sama mengenai sebarang isu selepas ini.

Ada baiknya kita melihat sesuatu kejadian itu dari aspek positif terlebih dulu. Bantu diri untuk tidak bergantung kepada emosi yang negatif.

Semua masalah tidak mampu diselesaikan dengan baik sekiranya meletakkan emosi negatif di hadapan.

Tidak dinafikan, sebagai manusia kita selalu tewas kepada kekangan emosi dan kekecewaan. Itu perjanjian yang sudah dilafazkan syaitan dan iblis di hadapan Allah SWT pada saat mereka diusir dari syurga.

Sebagai umat Islam, menjadi tanggungjawab kita mencari kekuatan dan bermuhasabah dari sudut kerohanian. Hanya dengan iman dan takwa kepada Allah SWT dapat membantu kita memulihkan emosi, menguatkan kebergantungan kepada Allah SWT dan yakin hanya Allah SWT yang mengizinkan berlakunya sesuatu perkara dan Dialah yang mengetahui rahsianya.

Jika dilihat daripada tindak balas suami puan, selepas puan mengambil langkah menjauhkan diri daripadanya dan berhenti menjalankan tanggungjawab sebagai isteri, suami puan masih mampu melakukan rutin hariannya seperti biasa.

Tidak berlaku juga sebarang kekasaran mahupun perbalahan besar akibat tindakan puan itu.

Berdasarkan tindak balas suami puan itu, saya percaya beliau mempelajari sesuatu daripada apa yang berlaku dan kesannya terhadap hubungan kalian.

Tidak menjadi kesalahan sekiranya puan menyimpan sedikit kebimbangan seandainya suami benar-benar masih mengingati dan mengasihi bekas kekasihnya.

Puan perlu bijak dan matang mengawal diri serta perasaan. Jika masih sayangkan rumah tangga, ditambah pula suami jenis yang bertanggungjawab, saya nasihatkan lebih baik puan berhenti mencari keburukan serta melayani andaian negatif.

Wanita sangat mudah dibuai perasaan hingga menjejaskan diri sendiri. Keburukan dan kejahatan jika dicari pasti akan ditemui.

Syaitan pasti berusaha menzahirkan semua kejahatan. Itu memang tugas mereka sehingga hari kiamat.

Selain itu, kejadian yang berlaku juga boleh dijadikan peringatan kepada mana-mana pasangan lain supaya berusaha memperbaiki diri dan memelihara roh keharusan perkahwinan yang disyariatkan Islam.

Sekiranya masalah masih berlarutan dan gagal mencari sebarang penyele-saian, maka ia perlu dirujuk kepada pakar sama ada mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling.

Penulis adalah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 11:02 AM