PEGUAM Webb ketika keluar dari Mahkamah New York.
PEGUAM Webb ketika keluar dari Mahkamah New York.
AFP

Zurich: Barisan kepimpinan FIFA bertemu hari ini untuk memutuskan tarikh pembuangan undi bagi menggantikan Presiden Sepp Blatter yang terbabit dengan isu rasuah.

Mesyuarat itu bakal berlangsung dua hari selepas Jeffrey Webb yang juga Naib Presiden FIFA, melakukan penampilan pertama di Mahkamah New York menafikan tuduhan menerima berjuta dolar wang rasuah untuk tujuan pemasaran.

Bagaimanapun dia dilepaskan dengan ikat jaminan.

Webb adalah antara 14 pegawai badan induk itu serta eksekutif perniagaan yang terbabit dengan tuduhan berkenaan.

Dia adalah salah satu daripada tujuh pegawai FIFA yang ditahan dalam satu serbuan di sebuah hotel di Zurich menjelang kongres badan induk itu pada Mei lalu.

Dua hari selepas itu, Blatter dipilih buat kali kelima sebagai presiden tetapi empat hari kemudian, beliau mengumumkan untuk mengadakan pemilihan semula.

Pemimpin berusia 79 tahun dari Switzerland itu, akan mengumumkan tarikh baru pemilihan itu selepas mesyuarat jawatankuasa eksekutif hari ini.

Pemilihan semula akan berlangsung di Zurich antara Disember dan Februari tahun depan.

Berikutan komen yang negatif ketika ditemuramah media, Blatter dijangka akan minta mengeluarkan kenyataan secara rasmi untuk meletak jawatan.

Beliau sebelum ini tidak menyatakan dengan jelas untuk meletak jawatan ketika mengumumkan pemilihan baru yang akan diadakan semula.

FIFA turut berdepan tekanan untuk melakukan rombakan besar-besaran dan Blatter dijangka akan mengumumkan apakah langkah-langkah yang boleh dicadangkan untuk kongres khas itu.

Blatter mungkin juga akan mengumumkan had tertentu untuk memegang jawatan anggota eksekutif FIFA.

Bagaimanapun pengkritik berkata, segala langkah yang dijangka akan dilakukan Blatter itu tidak akan meredakan isu rasuah.

Malah jawatankuasa etika sedia ada mahu lebih kuasa diberikan kepada mereka untuk meningkatkan lagi tahap ketelusan badan induk itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2015 @ 7:25 AM