Selepas lebih tiga tahun berteka-teki mengenai tarikh pernikahan mereka, akhirnya pada 25 September lalu penya­nyi dan pelakon, Elly Mazlein, 34, mengumumkan dia bakal disatukan dengan tunangnya Azmi Hatta, 39, pada 9 November ini.

Malah, kad undangan perkahwinan mereka yang berwarna biru muda sudah pun sampai ke meja SS semalam. Terima kasih buat Elly dan Azmi yang sudi menjemput SS.

Elly yang melangsungkan pertunangan pada 30 Mei 2011 sepatutnya berkahwin pada Disember 2012, tetapi ditangguhkan akibat masalah tertentu.

Penangguhan yang berlarutan membuatkan banyak pihak tertanya-tanya termasuk ada yang mendakwa hubungan mereka bermasalah.

Namun, Elly sama sekali menafikannya.

Nampaknya Elly tak perlu lagi bimbang kerana dia bakal bergelar isteri kepada Azmi yang juga pe­ngarah.

SS juga lega dengan perkara ini dan tidak akan timbul lagi sama ada hubungan mereka bermasalah atau tidak.

Mengikut apa yang tertera di kad undangan itu, mereka akan bernikah di Surau As Sakinah, Puchong, Selangor pada jam 11 pagi.

Selepas bernikah, mereka juga akan menziarahi pusara ibu Elly, Sabariah Yoon yang meninggal dunia pada 11 Mei lalu.

Difahamkan sehari sebelum itu akan diadakan majlis berinai kecil untuk saudara-mara di kediaman keluarga Elly di Puchong.

Tahniah SS ucapkan buat Elly dan Azmi. Semoga perkahwinan ini kekal hingga ke anak cucu dan syurga.

SS: Semoga terus bahagia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:01 AM