Beirut: Militan Negara Islam (IS) menyerang sebuah telaga minyak dan gas di Syria dan membunuh sekurang-kurangnya 30 anggota tentera dan pengawal keselamatan, kata sebuah pertubuhan semalam.

Pegawai Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia Rami Abdel Rahman berkata, serangan kelmarin itu mencetuskan pertempuran yang berterusan semalaman.

“IS dapat menguasai sebahagian daripada kawasan telaga minyak itu,” katanya.

Pertubuhan itu berpangkalan di Britain dan maklumat diperoleh daripada pelbagai sumber.

Kata Rami, kejadian berlaku di Shaer, wilayah Homs.

Seorang militan IS dilaporkan terbunuh.

Menurut Rami, pada pagi semalam pertempuran bersambung lagi dengan tentera kerajaan mengebom kawasan dikuasai IS.

Akhbar harian al-Watan pula melaporkan, IS mengasai dua telaga minyak dan sebuah gunung selepas pertempuran sengit tercetus.

Akhbar itu juga melaporkan berlaku kematian di kedua-dua pihak, tetapi tiada jumlah spesifik diberi,

“Tentera dengan sokongan militia Pasukan Pertahanan Kebangsaan sedang cuba menawan semula kawasan berkenaan,” lapor akhbar itu.

Julai lalu 270 orang termasuk anggota tentera dan pejuang prokerajaan maut apabila IS melancarkan serangan di Shaer

Kebanyakannya dilaporkan ditembak selepas dijadikan tawanan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:21 AM