Amman (Jordan): Kumpulan militan Negara Islam (IS) menawan telaga minyak utama yang dikuasai kerajaan Syria ketika pertempuran di padang pasir ditengah di tengah negara itu, kata kumpulan pemantau semalam.

Telaga minyak Jazal kini ditutup dan pertempuran masih berlarutan di barat Homs dengan angka korban dilaporkan oleh kedua-dua belah pihak, kata Pemantau Syria untuk Hak Asasi Manusia.

Tentera Syria mendakwa askarnya berjaya menangkis serangan di kawasan yang sama tetapi tidak menyebut Jazal atau menjelaskan sama ada kawasan telaga minyak itu masih di bawah penguasaan mereka.

Katanya, askar kerajaan berjaya membunuh 25 militan termasuk dari negara asing.

“Syria kehilangan telaga minyak terakhir negara itu,” kata badan pemantau itu.

Pengguna media sosial di Syria memberitahu pertempuran semakin sengit pada tiga atau dua hari terakhir dengan militan menawan kemudahan minyak berkenaan kelmarin.

Jazal adalah telaga minyak bersaiz sederhana di barat laut kota purba Palmyra yang dikuasai IS dan berhampiran dengan wilayah Syria yang menempatkan telaga gas asli dan kemudahan penapisan bernilai jutaan dolar.

Dalam perkembangan berasingan, badan pemantau itu berkata, serangan udara tentera Amerika Syarikat di Raqqa menyebabkan 16 militan IS, termasuk lima warga asing terbunuh.

Kumpulan penentang pula dilaporkan melancarkan serangan mortar di Damsyik menyebabkan seorang penduduk maut. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 7:09 AM