A Tale of Love and Darkness dikatakan mengandungi agenda politik.
A Tale of Love and Darkness dikatakan mengandungi agenda politik.
Susunan Michelle Gun


Kali pertama mengarahkan filem, bintang Hollywood Natalie Portman sudah menerima kritikan berikutan karya A Tale of Love and Darkness dikatakan mengandungi agenda politik.

Filem itu diadaptasikan daripada novel autobiografi nukilan penulis terkenal Israel, Amos Oz dan berlatarkan suasana ketika pembentukan negara Israel.

Ia mengisahkan perjalanan kehidupan seorang kanak-kanak yang terpaksa berdepan realiti hidup dan kematian.

Bagaimanapun, Natalie menyangkal dakwaan itu dan berpendapat filem terbabit memaparkan kisah kehidupan sebuah keluarga.

“Memang jalan cerita berlaku dalam sejarah, sekali gus memberi tekanan kepada kehidupan keluarga terbabit. Namun demikian, filem ini langsung tidak mengandungi unsur politik,” katanya.

Kata Natalie, penggunaan bahasa Ibrani dalam filem itu penting bagi jalan cerita dan karakter setiap watak.

“Seseorang pernah memberitahu saya, orang Amerika selalu menghasilkan filem asing dengan watak Perancis atau Sepanyol yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Namun melucukan kepada pada masa sama mahu watak ini bertutur dengan loghat masyarakat Sepanyol atau Perancis,.

“Jadi boleh anda membayangkan filem mengisahkan George Washington dalam bahasa Perancis tetapi mahu beliau bertutur dalam loghat orang Amerika,” katanya.

Natalie yang dilahirkan di Israel turut terbabit dalam penulisan skrip A Tale of Love and Darkness malah memegang watak sebagai Fania, wanita yang mempunyai impian besar walaupun berdepan realiti hidup setiap hari.

Biarpun menerima kritikan segelintir pihak, filem A Tale of Love and Darkness dilaporkan menerima sambutan memberangsangkan ketika tayangan perdana di Festival Filem Cannes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 1:53 PM