Susunan Oleh Michelle Gun


Demi menumpukan perhatian terhadap karier lakonan, model terkenal, Cara Delevingne mengambil keputusan meninggalkan dunia peragaan.

Model berusia 22 tahun dari London itu mendedahkan dia sudah meninggalkan agensi Strom Model Management baru-baru ini.

Pernah menjayakan watak kecil dalam beberapa filem sebelum ini, Delevingne yang juga bekas model Victoria Secret mengakui pernah menolak tawaran watak kurang menarik.

“Watak yang selalu diberikan kepada model adalah sama ada dia mati ataupun menjadi perempuan bodoh seperti dalam American Pie 27.

“Saya rasa seperti orang gila apabila menolak banyak tawaran. Namun tak mengapa kerana maruah lebih penting,” katanya.

Bintang filem Paper Towns itu juga cukup selektif dengan watak dan menjadikan bekas model serta pemenang anugerah Oscar, Charlize Theron sebagai idolanya.

“Peragaan bukan jiwa saya, namun andai ada tawaran dipertimbangkan.

“Sebelum ini, saya tidak berani menolak tawaran dan ia buat saya rasa tertekan. Saya jadi model kerana mahu membiayai yuran kelas lakonan,” katanya.

Kali pertama dapat watak utama

Berkongsi perkembangan terbaru, Cara bakal muncul dengan filem baru berjudul Suicide Squad yang ditayangkan pada Ogos tahun depan.

“Filem ini mengisahkan sekumpulan penjenayah diarahkan melakukan misi rahsia untuk kerajaan Amerika Syarikat jika mahu hukuman mereka diringankan,” katanya.

Seperti pelakon lain, Cara menghadiri sesi uji bakat Sucide Squard dan teruja apabila mengetahui dia terpilih membawakan watak Enchantress.

“Saya gambira apabila dipuji berbakat dan mampu bermain dengan emosi.

“Enchantress saintis yang lembut, namun berubah menjadi ahli sihir yang gila. Saya sangat suka dengan watak ini kerana ia banyak bermain dengan emosi,” katanya.

Filem itu turut dibintangi Ben Affleck, Will Smith, Margot Robbie dan Jared Leto.

Cara yang sebelum ini pernah beraksi dalam filem Anna Karenina dan Face of an Angel, tidak ketinggalan berkongsi pengalaman menjayakan watak utama sebagai Margo dalam Paper Towns.

“Ramai tidak bersetuju saya melakonkan watak Margo kerana fikir saya tidak boleh berlakon. Namun, saya mahu buktikan tanggapan mereka salah.

“Filem ini turut menuntut saya bertutur dalam loghat Amerika dan itu bukan masalah,” katanya.

Paper Towns adaptasi novel popular nukilan John Greens kini rancak ditayangkan di pawagam. Ia mengisahkan Quentin jatuh cinta dengan jirannya, Margo yang penuh misteri.

Meskipun pernah rapat sewaktu kecil, mereka bawa haluan hidup masing-masing.

Suatu hari, Margo menghilangkan diri selepas keluar dengan Quentin. Tidak lama kemudian gadis itu muncul kembali dan meminta Quentin membantunya membalas dendam terhadap sekumpulan individu yang menganggunya di sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 9:10 AM