Aktres Natalie Portman menasihati bakal graduan Universiti Harvard agar reda dengan tahap pengetahuan mereka. Pemenang anugerah Oscar itu turut menyarankan agar menggunakan kelemahan mereka sebagai kekuatan dalam mengembangkan kerjaya.

“Ilmu sebenar adalah mengetahui kekurangan kita. Walaupun kita lepasan universiti, masih banyak lagi yang kita harus pelajari. Harus sedia menerima kurangnya ilmu pengetahuan kita dan jadikan ia sebagai aset berguna.

“Apabila kita menerima kelemahan diri, maka lebih banyak yang kita pelajari. Menganggap diri mengetahui semua perkara akan membawa kita ke jalan binasa. Jangan sekali-kali berputus-asa dan sebaliknya yakin pada diri,” katanya ketika berucap sempena konvokesyan universiti itu.

Natalie turut berkongsi cerita mengenai dirinya ketika menerima tawaran berlakon dalam filem Black Swan. Katanya, dia sedar dirinya tidak pandai menari tetapi demi menjayakan watak itu, dia sanggup mempelajari benda baru.

“Saya terima kelemahan diri tetapi tidak berhenti setakat itu. Saya belajar menari dan memenuhi permintaan pengarah. Tidak sangka saya berjaya merealisasikan watak itu,” katanya.

Natalie juga mengambil langkah berani menjadi pengarah filem The Tale Of Love And Darkness. Dia bukan hanya mengarah, juga antara penulis skrip dan pelakon dalam naskhah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2015 @ 5:07 AM