FOTO Amran Yahya
FOTO Amran Yahya
Oleh Amran Yahya

Kuala Pilah: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun maut apabila terperangkap dalam kebakaran di rumahnya di Air Mawang dekat sini, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira 10.05 pagi itu, Mohamad Daniel Hakim, berada dalam sebuah daripada tujuh bilik di rumahnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tampin, Pegawai Bomba Kanan 1 Lias Amat, berkata Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 10.13 pagi.

Katanya, pasukannya seramai enam anggota tiba di tempat kejadian kira-kira 10.26 pagi dan mendapati sebuah rumah terbakar yang kemudian berjaya dikawal.

"Tidak lama kemudian, seorang wanita tiba di tempat kejadian dan memberitahu anaknya berada dalam rumah itu," katanya.

Lias berkata, anggota bomba yang memasuki rumah itu kemudian menemui mangsa yang rentung dalam sebuah bilik rumah itu.

Katanya, hanya mangsa berada dalam rumah itu dan pihaknya kini sedang menyiasat punca kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 12:30 PM