Siti Rohana Idris


"DISEBABKAN terlalu takut, saya hanya sempat mengambil dan memakai baju sebelum keluar dari rumah dalam keadaan sehelai sepinggang," kata Wan Faridah Wan Adam, 82, mangsa kebakaran di Pasir Pekan, Tumpat, hari ini.

Dalam kejadian pada 10 pagi itu, rumah dua tingkat didiami warga emas bersama keluarganya hangus.

Selain itu, sebuah motosikal Honda Wave turut hangus manakala kereta Honda CR-V milik anak Wan Faridah juga mengalami kerosakan.

Turut hangus, bahagian bawahnya kediaman itu yang dijadikan stor dan tempat memproses sabun pakaian milik anaknya.

Katanya, ketika kejadian dia langsung tidak terfikir mengenai barang kemas dan wang simpanan berjumlah RM5,000 yang disimpan di rumah.

"Saya berada di dalam bilik air untuk mandi sebelum terdengar jeritan adik, Wan Aishah@Wan Asiah, 76, yang memaklumkan nampak asap dari bilik.

 Dua warga emas, Wan Faridah Wan Adam, 82 (kanan) dan adiknya, Wan Aishah@Asiah, 76, yang terselamat dalam kebakaran rumah di Pasir Pekan, di sini, kira-kira jam 10 pagi tadi. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Dua warga emas, Wan Faridah Wan Adam, 82 (kanan) dan adiknya, Wan Aishah@Asiah, 76, yang terselamat dalam kebakaran rumah di Pasir Pekan, di sini, kira-kira jam 10 pagi tadi. FOTO SITI ROHANA IDRIS

"Sebaik keluar saya ternampak asap dari bilik tidur cucu, saya hanya sempat memakai baju sebelum kami berdua bergegas keluar menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Wan Faridah berkata, dia bersyukur kerana dua cucunya yang

berusia lapan dan 10 tahun sudah berada di luar rumah.

Katanya, dia cuba masuk semula ke dalam rumah untuk menutup suis utama namun dihalang oleh adik.

"Sepatutnya hari ini saya ada perbicaraan di mahkamah berhubung pengambilan tanah tapi semua dokumen berkaitan sudah hangus," katanya.

Sementara itu Komander Operasi, Penguasa Bomba Mohd Zulhilmi Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.17 pagi dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu tiba pada 10.26 pagi.

Beliau berkata, seramai 29 anggota dan pegawai dari BBP Wakaf Bharu, Kota Darul Naim dan Tunjong terbabit dalam operasi pemadaman kediaman separuh kekal itu.

"Sebaik tiba, rumah itu sudah 70 peratus terbakar dan kebakaran dapat dikawal pada 10.43 pagi.

"Api berjaya dihalang dari merebak ke sekolah dan beberapa kediaman berhampiran dengan lokasi terbakar," katanya sambil memaklumkan punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 1:55 PM
Anggota bomba dari tiga balai sedang memadamkan kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat di Pasir Pekan, di sini pagi tadi. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Anggota bomba dari tiga balai sedang memadamkan kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat di Pasir Pekan, di sini pagi tadi. FOTO SITI ROHANA IDRIS