BOMBA memadamkan kebakaran rumah kongsa. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
BOMBA memadamkan kebakaran rumah kongsa. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Oleh Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan: Dua puluh lapan pekerja hilang tempat tinggal sekelip mata apabila rumah kongsi 11 pintu didiami mereka hangus dalam kebakaran di Jalan Pasti Segar, Batu 8, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi, sembilan unit rumah berkenaan musnah sepenuhnya manakala dua unit lagi mengalami kerosakan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Haikal Jimmy Ngali Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.26 pagi dan mengarahkan 11 anggota bersama tiga jentera bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, bomba mendapati api sudah marak dan lantas menjalankan operasi mengawal serta memadam kebakaran.

"Api berjaya dikawal pada 10.53 pagi," katanya ketika dihubungi.

Haikal berkata, kebakaran membabitkan 11 pintu rumah kongsi dan sembilan daripadanya musnah sepenuhnya.

"Tiada mangsa yang cedera dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2015 @ 2:32 PM