FATIMAH menunjukkan bumbung rumahnya yang rosak dihempap dahan durian di Kampung Solok Gediu, Inas, Kuala Pilah, semalam. FOTO AMran Yahya.
FATIMAH menunjukkan bumbung rumahnya yang rosak dihempap dahan durian di Kampung Solok Gediu, Inas, Kuala Pilah, semalam. FOTO AMran Yahya.
Amran Yahya


IBU tunggal yang menetap di Kampung Solok Gediu, Inas, Kuala Pilah, terselamat apabila dahan pokok durian berusia lebih 80 tahun patah sebelum menghempap rumahnya, pagi semalam.

Mangsa, Fatimah Samsudin, 66, berkata, kejadian berlaku pada 10.30 pagi, ketika dia sedang bersarapan di warung terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya.

“Ketika kejadian tiada hujan atau ribut. Secara tiba-tiba saya terdengar dentuman kuat dari arah rumah menyebabkan semua pelanggan di warung tergamam.

“Tidak lama kemudian seorang jiran muncul memaklumkan bumbung rumah saya ranap dihempap dahan durian," katanya ketika ditemui di kediamannya, hari ini.

Fatimah yang mendiami rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) itu sejak sembilan tahun lalu bagaimanapun bersyukur kerana ketika kejadian itu dia berada di luar rumah.

“Nasib baik ketika kejadian saya sedang makan di warung, jika tidak, mungkin sesuatu akan terjadi ke atas diri saya. Bagaimanapun Allah SWT masih sayangkan nyawa saya," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Dingkir, Inas Hasnan Tunggal, berkata, pokok berkenaan dipercayai reput sehingga menyebabkan dahannya patah dan menghempap rumah.

“Sejurus kejadian, pelbagai pihak termasuk anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Pilah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Pilah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), polis serta penduduk kampung bergotong-royong melakukan kerja pembersihan.

“Dua bilik tidur dan sebuah tangki air rosak dalam kejadian ini. Difahamkan kerja pembaikan rumah akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 3:13 PM