Baghdad: Kementerian Pertahanan Iraq berkata, pegawai kedua tertinggi Negara Islam (IS) terbunuh dalam satu serangan udara baru-baru ini.

Kejadian berlaku ketika dia mengadakan pertemuan bersama militan lain di sebuah masjid di utara negara itu.

“Berdasarkan maklumat risikan, serangan udara oleh pakatan tentera menyasarkan pegawai kedua tertinggi IS, Abu Alaa al-Afari (gambar) berjaya membunuhnya,” kata kenyataan itu.

Abu Alaa atau nama sebenarnya, Abdul Rahman Mustafa Mohammed, berketurunan Turki dari bandar Tel Afar di barat laut Iraq dan dipercayai pemimpin kedua IS selepas Abu Bakr al-Baghdadi.

Kementerian berkenaan turut memuat naik rakaman serangan udara di masjid yang terletak di pekan al-Iyadhiya tempat Abu Alaa dikenali sebagai guru dan pendakwah.

Pentagon berkata, ia maklum mengenai laporan itu namun belum mengesahkannya.

Abu Bakr sebelum ini dilapor parah dalam serangan udara pakatan tentera, juga di barat laut Iraq. Berikutan itu, Abu Alaa dipercayai akan mengambil alih kepemimpinan IS.

Bagaimanapun, Pentagon menafikan laporan itu sebaliknya menegaskan Abu Bakr mampu merancang operasi selain tidak cedera dalam serangan udara.

Pakatan tentera membabitkan lebih 60 negara diketuai Amerika Syarikat (AS) melancarkan kempen sejak tahun lalu untuk menghapuskan IS dengan serangan di Iraq serta Syria. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 10:50 AM