Bukan saja kerinduan peminat penyanyi Mazuin Hamzah terubat malah sanak-saudaranya juga apabila hujung minggu lalu dia pulang seketika ke Kuala Lumpur bersama tiga anaknya iaitu Pengiran Anak Ajeerah, Pengiran Anak Raafi’ah dan Pengiran Muda Abdul Khaaliq.

SS difahamkan, Mazuin pulang bagi menghadiri perkahwinan anak kedua kakak sulungnya Mahani Hamzah iaitu Erzuan Rooslan bersama pasangannya, Sofia Kamarull Zaman.

Menurut rakan SS yang juga bekas wartawan senior Muzlina Abu Bakar, dia sempat bertemu Mazuin lalu memuat naik foto berkenaan di akaun Facebooknya. Turut hadir rakan artis seperti Azlina Aziz, Liza Aziz dan Salwa Abdul Rahman.

Pada pertemuan singkat itu, Mazuin beritahu pada rakan SS dia selesa menetap di Brunei bersama anak-anaknya yang semakin dewasa.

Apa yang menarik, Mazuin masih jelita dan seperti tidak dimamah usia.

Tentu ramai yang masih ingat kejelitaan Mazuin ketika popularitinya memuncak pada era 1980-an dulu cukup diperkatakan.

Mazuin bersama adik-beradiknya pernah menubuhkan kumpulan Quinary M dan menerbitkan tiga album, Cinta Palsu, Kasihku Bagai Debu dan Kau Berubah.

Antara lagu popular­nya, Cinta Palsu dan Anggerik Merah.

SS: Ketika kecil pernah dibawa ibu menonton filem Dia Ibuku lakonan Mazuin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 12:15 PM