ANTARA babak menarik.
ANTARA babak menarik.
GANDINGAN serasi Azwan Kombos (kiri) dan Niezam Zaidi.
GANDINGAN serasi Azwan Kombos (kiri) dan Niezam Zaidi.
ANTARA babak menarik.
ANTARA babak menarik.
Syanty Octavia Amry


Menghasilkan filem berbajet rendah bukanlah sesuatu yang mudah. Ini kerana pengarah harus kreatif bagi memastikan apa yang dihasilkan itu menepati cita rasa penonton.

Filem Jalan Puncak Alam terbitan Mangkin Prestij ini mempertaruhkan pengarah baru, Dharma Aizat Nasution untuk menghasilkan filem kelima terbitan mereka.

Ditemui selepas tayangan media filem berkenaan baru-baru ini, Dharma berkata, meskipun kurang puas hati kerana tidak dapat meluaskan watak dalam babak filem berkenaan dia harus akur ia filem berbajet rendah.

Malah, penggambaran yang singkat memerlukannya untuk lebih kreatif bagi memastikan setiap babak tidak membosankan.

“Bukan mudah menghasilkan filem bajet rendah, apatah lagi ia bergenre seram banyak perkara perlu diambil kira.

“Saya akui kurang berpuas hati kerana tidak dapat mencurahkan segala idea untuk memastikan filem ini berjaya menjadi antara filem yang betul-betul seram.

“Pun begitu, saya anggap ini cabaran untuk saya supaya lebih kreatif lagi pada masa akan datang.

“Apa pun, saya rasa bersyukur kerana diberi peluang menghasilkan filem mengikut genre yang saya minati iaitu filem seram,” katanya yang mengambil masa sebulan menghasilkan filem ini.

Dharma berharap penonton berpuas hati dengan filem ini dan memberikan peluang untuknya menghasilkan filem yang lebih baik lagi pada masa akan datang.

Jalan Puncak Alam adalah filem kedua arahan Dharma selepas filem Ia Wujud. Filem ini mengisahkan dua pelajar, Haniff (Niezam Zaidi) dan Azizi (Azwan Kombos) yang mengalami kejadian pelik dan menyeramkan ketika melalui Jalan Puncak Alam.

Azizi yang ketika itu menaiki motosikal menggunakan jalan pintas iaitu Jalan Puncak Alam untuk pulang ke rumahnya mengalami masalah apabila minyak motosikalnya habis tiba-tiba sedangkan dia baru saja mengisinya pada waktu pagi.

Dia menghubungi Haniff untuk membantunya dan ketika Haniff dalam perjalanan, dia turut mengalami peristiwa yang tidak pernah dilaluinya sebelum ini.

Azizi juga mengalami perkara yang sama apabila dia bertembung dengan makhluk aneh. Apabila Haniff bertemu Azizi, semuanya hampir selesai, namun pertemuan Azizi dengan seorang pengail ikan membongkar satu rahsia.

Apakah rahsia itu? Berjayakah mereka keluar daripada kemelut di Jalan Puncak Alam? Segalanya terjawab dalam filem seram ini yang mula ditayangkan semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 12:20 PM