NASI tehe-tehe.
NASI tehe-tehe.
LENAbersama hasil tangkapan ikan buntal dan tayun.
LENAbersama hasil tangkapan ikan buntal dan tayun.
TEHE-tehe dibuang durinya menggunakan sudu.
TEHE-tehe dibuang durinya menggunakan sudu.
TEKNIK mengeluarkan perut tehe-tehe.
TEKNIK mengeluarkan perut tehe-tehe.
ANISAH memasukkan beras ke dalam cengkerang tehe-tehe.
ANISAH memasukkan beras ke dalam cengkerang tehe-tehe.
ADUNAN beras untuk tanakan nasi tehe-tehe.
ADUNAN beras untuk tanakan nasi tehe-tehe.
AIDI (kiri) dan Sulaiman Abas (kanan) mencuba tehe-tehe bersama ikan goreng.
AIDI (kiri) dan Sulaiman Abas (kanan) mencuba tehe-tehe bersama ikan goreng.
Oleh Mohamed Semail


Misteri kumpulan Bajau Laut mengutip hidupan berduri di beting batu karang dekat Semporna, Sabah terungkai.

Aktiviti menangkap spesies moluska berduri itu dilakukan ketika air surut.

Landak laut yang dikenali sebagai ‘tehe-tehe’ dalam kalangan masyarakat peribumi Bajau hidup di persekitaran batu karang. Bagi melengkapkan aktiviti itu, mereka turut menangkap ikan buntal dan gamat untuk dijadikan santapan.

Hidupan laut ini menjadikan kawasan batu karang di perairan cetek sebagai tempat pembiakan.

Cengkerang yang keras dan berbentuk bulat menjadi buruan masyarakat Bajau.

Keunikan itu mengilhamkan satu menu istimewa berasaskan sumber makanan rugi.

Dikenali sebagai nasi tehe-tehe, makanan istimewa itu dihasilkan daripada cengkerang landak laut dan beras.

Lazimnya, penduduk setempat turun ke laut beramai-ramai ketika air surut paling kecil.

Penduduk, Lena Abdul Rahman, 18, berkata, mereka mencari landak laut dan hidupan lain untuk dijadikan lauk.

“Terdapat pelbagai jenis siput laut di sini. Paling popular ialah tehe-tehe dan Kahangar (sejenis siput keras) yang boleh dikutip dengan mudah berikutan air cetek dan jernih.

“Terdapat dua jenis landak laut di sini. Landak laut tayun dalam bahasa Bajau ialah spesies yang berduri panjang,” katanya.

Spesies landak tayun, katanya, ditangkap untuk mendapatkan telurnya.

“Untuk menangkap tayun kita memerlukan penyangkut besi. Besi digunakan untuk mengait landak laut ke darat.

“Badannya yang berduri panjang serta tajam sangat menyakitkan. Walaupun tidak sebisa sengat ikan sembilang, tetapi sukar untuk menariknya keluar daripada kaki,” katanya.

Tehe-tehe berbentuk bulat yang berduri pendek menjadi buruan utama masyarakat Bajau untuk diambil cengkerangnya.

Katanya, cengkerang tehe-tehe dijadikan sebagai periuk kecil untuk menanak nasi.

Tehe-tehe perlu direbus terlebih dulu supaya durinya lembut serta memudahkan proses menanggalkan duri.

Penggunaan sudu besi atau aluminium adalah kaedah terbaik dalam proses menanggalkan duri.

Durinya perlu dikikis menggunakan sudu bertujuan mengelak sebarang kejadian tidak diingini ketika memasak.

Berkongsi pengalaman, seorang penduduk dikenali Anisah, 43, berkata, bahagian organ dalamannya hendaklah dibuang terlebih dulu dengan menarik keluar mulutnya.

Apabila bahagian mulutnya dicungkil dan ditarik, semua organ dalamannya termasuk perut, hempedu serta kantung pasir turut keluar. Kemudian, bahagian dalam cengkerang itu dibasuh bersih.

Ia ditoskan dan dipastikan segala kotoran tertanggal. Jika tidak, nasi yang dimasak berbau hanyir.

Anisah yang pakar dalam masakan tehe-tehe berkata, beras yang digunakan perlu dibasuh bersih terlebih dulu dan ditoskan airnya.

Beras berkenaan diadun bersama garam, halia, cili dan sedikit gula serta digaul hingga sebati sebelum dimasukkan ke dalam tehe-tehe.

Walau bagaimanapun, katanya, sotong yang dipotong halus juga boleh dimasukkan sebagai perencah lauk.

“Masukkan beras berkenaan sehingga dua pertiga penuh tehe-tehe.

“Tutupkan mulutnya dengan daun kelapa secara bersilang supaya beras tidak terkeluar apabila direbus,” katanya.

Tehe-tehe disusun di dalam periuk dan masukkan air sehingga ia tenggelam.

Ia dimasak selama setengah jam supaya cukup masak sebelum dihidangkan.

Katanya, tehe-tehe dimakan bersama keluarga sebagai makanan istimewa.

Selain itu, ia juga boleh dimakan bersama lauk lain seperti ikan goreng atau ikan masin.

Pegawai Perikanan Sabah, Aidi Sapri berkata, nasi tehe-tehe memang sedap.

Ia cukup popular dalam kalangan masyarakat Bajau.

Lazimnya ia menjadi hidangan istimewa untuk jamuan keluarga dan juga tetamu yang berkunjung ke rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 2:08 PM