HUSNIAH (kanan) bersama kakaknya.
HUSNIAH (kanan) bersama kakaknya.
Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Sukan SEA Singapura mungkin menyaksikan kemunculan Ratu Pecut baru dari Malaysia menerusi Zaidatul Husniah Zulkifli.

Husniah berpeluang cerah menyumbangkan pingat emas acara pecut 100 meter yang kali terakhir disumbangkan G Shanty pada temasya di Jakarta 1997.

Tambah meyakinkan lagi apabila juara bertahan Vu Thi Huong dari Vietnam mengumumkan persaraan.

Namun bagi Husniah catatan 11.62s yang dilakukan pada Sukan Universiti Asean Palembang menguatkan azamnya untuk memburunya.

Katanya, cabaran memang sengit tapi kini peluang lebih terbuka dengan ketiadaan Thi Huong, Malah catatan dua wakil dari Thailand dan Filipina tidak jauh beza dengannya.

“Apapun boleh terjadi tapi saya harap dapat merealisasikan impian menaiki podium dan mendapatkan pingat emas untuk negara,” katanya.

Husniah dijangka menerima saingan daripada jaguh pecut Thailand, Tassaporn Wannakit dan Princess Joy Griffey dari Filipina.

Tassaporn mempunyai catatan terbaik 11.61s manakala Husniah dan Princess 11.62s.

Begitupun senario berbeza dalam acara 100m lelaki yang dilihat sukar bagi wakil negara apabila penyandang juara dua tahun lalu, Jirapong Meenapra dari Thailand berada pada prestasi terbaik.

Malah wakil negara Mohd Izzuddin Yahya juga perlu berdepan jaguh Filipina, Eric Cray yang berjaya memecah rekod kebangsaan di Houston, Amerika Syarikat.

Meenapra terus gah menguasai trek 100m apabila mencatatkan catatan 10.31s tahun lalu dan dijangka menerima tentangan hebat daripada Cray yang hanya 0.02s di belakang pelari yang kini berlatih di bawah bimbingan Andre Cason, bekas pemegang rekod dunia 60m.

Acara riben biru itu pasti menjadi tumpuan ramai dan dijangka menghangatkan trek olahraga Stadium Nasional Singapura dengan atlet negara Izzuddin juga pasti tidak mahu melepaskan peluang beraksi bersama jagoan Asia Tenggara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 9:32 AM