Bukit Mertajam: Anak tempatan yang tinggal di Permatang Pauh. Itu kriteria utama calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh nanti.

Sehubungan itu, UMNO Pulau Pinang akan mengemukakan permohonan serta nama beberapa calon berpotensi kepada kepemimpinan tertinggi parti supaya membuat keputusan.

Pengerusinya Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, permohonan berkenaan akan diserahkan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak dalam tempoh terdekat selepas Dewan Rakyat mengumumkan kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh secara rasmi selepas penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh.

Beliau berkata, permohonan untuk bertanding dalam PRK Permatang Pauh dibuat berikutan menerima maklum balas positif daripada akar umbi yang mahu memberi saingan kepada pakatan pembangkang.

“UMNO negeri akan mengambil pendirian untuk memohon dan meminta kelulusan daripada Presiden parti supaya kami diberi peluang untuk bertanding dalam PRK Permatang Pauh.

“Ini kerana, kami mahu seramai 72,153 pengundi diberi peluang untuk merasai pembaharuan bersama UMNO. Cukuplah 17 tahun bersama Anwar, isteri Anwar dan mungkin anak Anwar,” katanya selepas mengadakan pertemuan bersama 92 Ketua Cawangan UMNO Bahagian Permatang Pauh, di sini, malam kelmarin.

Turut hadir, Setiausaha UMNO negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Ketua Bahagian UMNO Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said.

Mengulas mengenai senarai calon, Zainal Abidin berkata, UMNO negeri sudah mempunyai senarai nama yang ingin diketengahkan kepada kepemimpinan tertinggi parti.

Tanpa mahu mendedahkan nama calon berkenaan, Zainal Abidin berkata, calon yang dipilih adalah anak tempatan yang tinggal di Permatang Pauh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 5:17 AM