FAIZAH  bersama Jus Permata Idaman di pejabat Dara Idaman Sdn Bhd, Pusat Perniagaan Worldwide Shah Alam.
FAIZAH bersama Jus Permata Idaman di pejabat Dara Idaman Sdn Bhd, Pusat Perniagaan Worldwide Shah Alam.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Shah Alam: Dara Idaman Sdn Bhd optimis untuk mencapai sasaran jualan sebanyak 100,000 botol bagi produknya, Jus Permata Idaman menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Faizah Hani Abdul Rashid berkata, jumlah itu dijangka akan disumbang oleh sebahagian besarnya pasaran tempatan dan selebihnya luar negara.

Katanya, Jus Permata Idaman akan memasuki pasaran Singapura, Indonesia dan Brunei pada separuh pertama tahun ini berikutan sudah mendapat permintaan di sana.

“Sejak berada di pasaran, Jus Permata Idaman telah terjual sebanyak 20,000 di pasaran Malaysia dan selain itu kami juga sudah berada di pasaran Singapura tetapi tidak menyeluruh.

“Kami yakin untuk capai sasaran jualan sebanyak 100,000 botol tahun ini seterusnya mewujudkan kira-kira 1,000 pengedar Jus Permata Idaman di seluruh negara,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, syarikat turut mempelawa mereka yang berminat menjadi stokis utama, stokis dan pengedar dengan modal sebanyak RM10,000, RM5,000 dan RM165 masing-masing.

Faizah berkata, margin keuntungan diberikan daripada 40 hingga 60 peratus dan setakat ini, terdapat stokis utama di Johor, Selangor dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, Jus Permata Idaman dihasilkan daripada bahan semula jadi iaitu madu, delima, kacip fatimah, kurma, manjakani, ginseng, kolagen, habbatus sauda, aloe vera dan pegaga yang membantu kaum wanita untuk menyelesaikan masalah dalaman wanita, meningkatkan kadar metabolisme badan dan menurunkan kolestrol.

“Kami menampilkan produk yang boleh terus diminum dengan memberi kebaikan tiga dalam satu iaitu rapat, ramping dan rupawan. Selain itu, kami akan mengadakan program Suri Rumah Mencapai Impian bersama Jus Permata Idaman serta melakukan siri jelajah ke seluruh negara bermula bulan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 7:50 AM