GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) ke Eropah daripada 13 hingga 21 Oktober lalu yang diketuai Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, membuahkan hasil menggalakkan dengan pelabur Eropah memberi komitmen kukuh untuk melabur RM14.1 bilion di Malaysia.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) pada kenyataan berkata, potensi pelaburan langsung asing (FDI) dari Jerman ialah RM10.7 bilion manakala potensi FDI dari Perancis dan United Kingdom (UK) masing-masing RM2.6 bilion serta RM800 juta.

"Pada masa sama, nilai eksport produk Malaysia bernilai RM400 juta (RM50 juta ke Jerman, RM300 juta ke Perancis dan RM50 juta ke United Kingdom) dijangka direalisasikan pada tahun-tahun akan datang," menurutnya.

Katanya, usaha transformasi ekonomi Malaysia terutamanya dalam memacu agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) diterima baik oleh komuniti perniagaan Eropah.

Pengiktirafan terhadap penekanan baharu Malaysia mengenai agenda kemampanan yang dilihat sepanjang misi ini mengesahkan keyakinan berterusan pelabur dan pengimport Eropah terhadap Malaysia.

Ia menunjukkan Malaysia kekal sebagai destinasi perniagaan pilihan dan pintu masuk strategik kepada perniagaan Eropah untuk meneroka lebih jauh ke rantau Asia Tenggara dan pasaran Asia Pasifik yang lebih besar.

Sepanjang TIM, Mohamed Azmin berkongsi mengenai visi Malaysia dalam agenda mampan, terutamanya sasaran Malaysia untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau karbon sifar bersih paling awal menjelang 2050, seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

"Berdasarkan pelbagai peluang dalam teknologi hijau Malaysia dan sektor mobiliti hijau serta dalam industri lain yang bernilai tinggi, perniagaan dan pelabur Eropah berharap dapat meningkatkan penyertaan dalam bidang penting itu yang menjadi antara tumpuan utama dalam aspirasi pembangunan ekonomi Malaysia," katanya.

Pada pertemuan dengan delegasi UK, kementerian turut mengenal pasti peluang kerjasama dalam bidang Industri 4.0, tenaga boleh baharu dan kemampanan serta memanfaatkan kedudukan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) untuk mengembangkan lagi kedudukan mereka di rantau ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 2:02 PM