FILEM romantik daripada novel popular miliki kekuatan penceritaan, lagu tema.
FILEM romantik daripada novel popular miliki kekuatan penceritaan, lagu tema.
Oleh Ramlah Zainal


Bukan sekadar naskhah yang diangkat daripada novel popular Ahadiat Akasyah, filem Pilot Cafe juga memiliki kekuatan dari segi penceritaan, lagu tema, muzik latar dan skor gubahan pencipta lagu Ombak Rindu, Nurzaidi Jamil yang mampu membuatkan penonton menitiskan air mata di pawagam.

Apa yang menarik, filem genre drama romantik ini turut menampilkan gandingan mantap barisan pelakon hebat tanah air seperti Fahrin Ahmad, Izara Aisyah, Neelofa dan Remy Ishak.

Turut menjayakan lagi filem ini ialah Keith Foo, Datuk Eizlan Yusof, Hafizudin Fadzil, Raja Ilya, Aishah Ilias, Ainul Aishah, Zaidi Omar dan Dian P Ramlee.

Selaku pengarahnya, Osman Ali mengakui dia tidak dapat menyembunyikan debaran menanti maklum balas daripada penonton nanti.

“Secara jujurnya, saya berdebar menanti maklum balas penggemar filem tempatan walaupun penonton memberikan maklum balas yang sangat baik selepas malam gala Pilot Cafe, baru-baru ini.

“Begitu juga maklum balas pihak media dan penonton yang begitu memberangsangkan dan ramai juga memberikan komen yang positif. Malah, di laman sosial juga saya dapati ada banyak yang memberikan maklum balas positif serta yang belum berkesempatan turut teruja untuk menontonnya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai naskhah itu, kata Osman, dia tertarik untuk mengarahkan filem itu kerana tema ceritanya yang agak berbeza walaupun ia masih bercerita mengenai cinta.

“Saya suka apabila temanya bercerita mengenai ‘setiap daripada kita pernah melakukan kesilapan dalam hidup, tapi selagi ada cinta dan harapan, selagi itulah adanya kehidupan’,” katanya.

Bagaimanapun, kata Osman, dia tetap bersedia menerima sebarang kritikan daripada penonton nanti.

“Tontonlah filem ini dulu sebelum anda mengkritiknya. Saya percaya anda tidak akan nampak langsung filem ini akan menggalakkan lagi kes gejala sosial, sebaliknya ia menceritakan mengenai cerita di sebalik gejala itu dari segi risiko dan kesan emosi yang berpanjangan.

“Hanya cinta dan kasih sayanglah penawar segala penyakit dalam masyarakat hari ini,” katanya.

Tidak ketinggalan, filem ini turut mengangkat lagu berjudul Untuk Cinta yang didendangkan secara duet oleh Hafiz Suip dan Adira sebagai lagu tema Pilot Cafe.

Bangga dengan lakonan Fahrin dan Izara

Sebagai pengarah kreatif, pastinya Osman sangat teliti dari segi pemilihan barisan pelakon yang beraksi dalam filemnya itu. Justeru, ramai yang ingin tahu kenapa pe­ngarah yang menempa nama dalam filem Ombak Rindu itu mempertaruhkan Fahrin yang jarang diketengahkan di layar perak.

“Secara jujur, saya me­ngakui menyukai dan puas dengan lakonan Fahrin yang memberansangkan kerana watak Kapten Ameer Reza itu ditanganinya dengan baik. Dia tidak ‘over do it’ dan nampak sangat tulus keinsafannya.

“Fahrin seorang pelakon yang bagus cuma peluang untuk dia beraksi dalam filem agak terhad sebelum ini.

“Sebenarnya, ketika projek filem Ombak Rindu dulu, Fahrin adalah hero pada awalnya dan sudah menandatangani kontrak, tapi jadualnya bertembung dengan program umrah lalu watak itu digantikan aktor popular, Aaron Aziz,” katanya.

Pada masa sama, kata Osman, dia juga bangga dengan lakonan Izara yang membawa watak Maya dan turut mendapat pujian ramai kerana itu membuktikan apa yang diusahakan selama ini berhasil.

“Saya juga menjaga prestasi lakonan Izara dan memastikan agar ia konsisten dan penjiwaannya tepat. Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada pelakon dan pengarah berkaliber, Ellie Suriaty yang menjadi ‘acting coach’ Izara sebelum pengambaran,” katanya.

Filem ini menceritakan mengenai perjalanan hidup Kapten Ameer Reza, bekas juruterbang yang cuba meraih kembali cinta Sharmila, tetapi pada masa sama bertemu Maya dan jatuh cinta.

Pilot Cafe terbitan Astro Shaw dan Tarantella Pictures ini mula menjengah pawagam seluruh tanah air bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2015 @ 1:12 PM