SEBUAH keluarga menyelamatkan diri ke kawasan lebih tinggi dalam kejadian banjir kilat di Kampung Simpang Tiga, Kepala Batas. FOTO Danial Noordin
SEBUAH keluarga menyelamatkan diri ke kawasan lebih tinggi dalam kejadian banjir kilat di Kampung Simpang Tiga, Kepala Batas. FOTO Danial Noordin
Oleh Mohamad Hussin


Alor Setar: Penduduk sekitar kawasan Kepala Batas, di sini, dinasihatkan berhati-hati berikutan air Sungai Padang Terap mencatatkan bacaan 3.96 meter (m) melebihi paras bahaya setakat jam 1 petang.

Menurut kenyataan dari laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah, penduduk di kawasan sekitar diminta berjaga-jaga berikutan keadaan air di aras bahaya itu dikhuatiri menyebabkan kawasan sekitar banjir.

Difahamkan, paras air di Sungai Padang Terap itu melebihi aras bahaya berikutan hujan lebat yang berterusan sejak kelmarin.

Tinjauan Harian Metro di dua kampung di Kepala Batas iaitu Kampung Simpang Tiga dan Kampung Hilir, pagi tadi turut mendapati sebanyak 11 buah rumah membabitkan 50 mangsa dinaiki air sehingga paras 0.5 meter.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah Md Noor Chik berkata, dua pusat pemindahan banjir masih dibuka di dua lokasi di Baling membabitkan 17 keluarga dengan 56 mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 2:13 PM