FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Tiga sungai di negeri ini merekodkan bacaan melebihi tahap bahaya setakat jam 2 petang hari ini.

Antara sungai terbabit ialah Sungai Melaka di Bukit Kemboja (8.97 meter) dan Sungai Melaka di Padang Mat Sirat (3.56 meter) di Langkawi dan Sungai Gurun di Kampung Perupok di Yan (3.96 meter).

Ini berikutan hujan lebat yang melanda sejak semalam menyebabkan paras air sungai di negeri ini meningkat.

Berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, bacaan enam sungai di negeri pula melepasi tahap waspada dan trend air menaik.

Enam sungai terbabit adalah Sungai Anak Bukit di Taman Aman di daerah Kota Setar (2.05 meter), Sungai Sari di Kilang Gula Padang Terap (27.13 meter), Sungai Janing di Kampung Labi, Padang Terap (25.42 meter), Empangan Padang Saga di Langkawi (19.81 meter), Sungai Pendang di Pekan Pendang (2.3 meter) dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya (1.58 meter).

Sementara itu, Ketua Bahagian Sekretariat, Jawatankuasa Pengurusan Bencana, APM Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, anggota APM di negeri ini akan terus melakukan pemantauan di kawasan yang berisiko dinaiki air dan menasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran sungai supaya mengambil langkah berjaga-jaga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 3:59 PM