ANGGOTA APM membuat pemantauan banjir di Kampung Nongmi Changlun (gambar fail). FOTO Arkib NSTP
ANGGOTA APM membuat pemantauan banjir di Kampung Nongmi Changlun (gambar fail). FOTO Arkib NSTP
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Penduduk terjejas akibat banjir di negeri ini terus meningkat kepada 228 mangsa membabitkan 69 keluarga yang ditempatkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, jumlah itu dilaporkan setakat 12 tengah malam ini.

Beliau berkata, semua mangsa ditempatkan di dua PPS di Changlun dan sebuah PPS di daerah Kota Setar.

"Cuaca di seluruh negeri ini tidak hujan malam ini namun APM Kedah sentiasa siap siaga selepas menerima notis waspada hujan sehingga 27 September (esok) dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)," katanya dalam kenyataannya, malam ini.

Dalam pada itu, Mohd Muaz berkata, merujuk kepada data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras sungai terkini menunjukkan aras air empat sungai iaitu Sungai Padang Terap di Kepala Batas di Kubang Pasu mencatatkan 4.01 meter, Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR di daerah Kota Setar (1.91 meter), Sungai Pendang di Pekan Pendang (2.8 meter) dan Sungai Laka di Kampung Padang Pasir di Kubang Pasu (22.41 meter).

Katanya, kesemua sungai berkenaan sudah melepasi tahap bahaya.

"Sehubungan itu, penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir dinasihatkan supaya berpindah segera jika kawasan rumah dinaiki air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 12:58 AM