BARISAN pelakon Jane by Design.
BARISAN pelakon Jane by Design.
Syanty Octavia Amry


Mengetengahkan kepelbagaian watak utama seperti Jane Quimby, gadis kurang berkeyakinan yang bercita-cita jadi pereka fesyen berjaya, Billy Nutter, kawan baik Jane, seorang punk, Ben Quimby, abang Jane, Lulu Pope, kawan sekolah Jane yang bersikap buruk terhadapnya dan Nick Fadden, lelaki yang diminati oleh Jane.

Watak-watak ini ditonjolkan dalam drama Inggeris terbaru berjudul Jane by Design yang bakal disiarkan mulai 7 Mei ini setiap Khamis jam 12.00 malam di TV2.

Drama 18 episod ini menceritakan mengenai Jane Quimby,(Erica Dasher) seorang remaja yang disalah anggap sebagai seorang dewasa dan dia berjaya mendapatkan pekerjaan fesyen idamannya. Sejak itu dia harus mengimbangi kehidupan sekolah tinggi dan tugasnya.

Jane mempunyai rakan baik Billy (Nick Roux), seorang punk yang sering membantunya menyelesaikan masalah. Namun, kawan baiknya itu mempunyai hubungan dengan Lulu (Meagan Tandy), seorang gadis yang sangat jahat dengan Jane sejak dia berada di gred ketujuh lagi.

Selepas Billy bersama Zoe, Jane berasa seperti gadis itu menggantikan tempatnya. Bapa Jane sudah lama meninggal dunia dan ibunya pula keluar rumah meninggalkan Jane tinggal dengan abangnya, Ben.

Ben (David Clayton Rogers) cuba untuk mencari nafkah dengan mendapatkan pekerjaan sehingga dia diterima sebagai pembantu sukan di sekolah Jane.

Di Donovan Decker, Jane melalui dunia fesyen yang penuh cabaran semasa dia bekerja dengan Gray Chandler Murray (Andie MacDowell) dan pekerja lain seperti Jeremy Jones (Rowley Dennis), India Jourdain (India de Beaufort), Carter (Ser’Darius Blain) dan Birdie (Brooke Lyons).

Pelbagai cabaran dilalui setiap hari. Apatah lagi untuk Jane menjadi yang terbaik di tempat kerja dan sekolahnya.

Bolehkah dia mengimbangi cabaran seharian di sekolah tinggi dan dunia fesyen? Mampukah dia mengatasi cabaran itu semua? Apakah dia akan jadi pereka fesyen berjaya? Saksikan drama bersiri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2015 @ 1:10 PM