Syanty Octavia Amry

Jika dulu kita sering ternanti-nantikan drama bersiri remaja seperti Dunia Baru lakonan Elyana dan Pierre Andre, kini satu lagi fenomena akan tercipta dengan hadirnya drama bersiri mengisi slot Aurora, TV9, berjudul Dunia Generasi Baru (DGB) yang bersiaran setiap Khamis, jam 8.30 malam bermula 16 April lalu.

Tercari-cari identiti sebenar, bersifat ingin tahu, penuh dengan emosi tatkala berhadapan dengan sebarang masalah dan mempunyai 1,001 keraguan antara konflik dalaman yang dihadapi remaja.

DGB membawakan kisah enam remaja Norelle, Zuhal, Zahra, Rik, Siska dan Aman yang mempu­nyai pelbagai perangai dan kerenah. Segalanya disatukan dan disulam dengan nilai persahabatan yang pasti membuatkan penonton terhibur.

Drama ini mempertaruhkan barisan pelakon muda seperti Kaka Azraff, Ben Amir, Zahirah Macwilson, Fadlan Hazim, Natasha Elyzza dan Erwin Dawson.

Penonton akan melihat variasi personaliti dan kisah yang terpendam di dalam setiap watak. Norelle (Kaka Azraff) seorang gadis lincah dan keanak-anakan yang senang bergaul dan sering menjadi pendengar serta penasihat yang baik.

Disebabkan itu kadangkala Norelle terpaksa menghabiskan banyak masanya untuk menyelesaikan masalah orang di sekelilingnya.

Aman (Erwin Dawson) pula sentiasa cuba berlagak ‘cool’ walaupun tindak-tanduknya selalu membuatkan orang lain salah faham. Seorang yang lucu dan gemar ‚menadakan‘ perbualannya dengan cara ‘rap’.

Aman sebilik dengan Zuhal (Ben Amir) seorang jejaka tampan dan dimanjakan dengan kemewahan keluarganya. Walaupun Zuhal mudah marah, kedua-duanya adalah rakan karib. Rik (Fadlan Hazim) juga mempunyai kisahnya yang tersendiri dan agak misteri.

Penonton juga akan diperkenalkan dengan watak Zahra (Zahirah Macwilson), gadis manis dari keluarga yang sederhana. Dia mulanya bermusuh dengan Norelle, namun kemudian mereka berkawan baik.

Begitu juga Siska (Natasha Elyzza) anak bintang rock yang cuba lari daripada perhatian ramai dan enggan menggunakan ayahnya sebagai kelebihan yang ada.

Penuh dengan cabaran, enam remaja ini terpaksa berhadapan dengan masalah masing-masing dalam menempuh alam universiti dan mempertahankan persahabatan mereka. Namun tiada jalan mudah kerana semakin banyak konflik menimpa mereka. Saksikan kehidupan remaja penuh warna-warni dalam drama bersiri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 10:46 AM