TERDAPAT lebih 80 pasang koleksi pakaian peribadi direka dan dijahit sendiri sejak zaman belajar.
TERDAPAT lebih 80 pasang koleksi pakaian peribadi direka dan dijahit sendiri sejak zaman belajar.

FATIN FARHANA JAPRE kagum dengan keupayaan seorang anak gadis yang berkebolehan mereka dan menjahit pakaian gaun mengikut cita rasa pelanggannya.

Mary Jane Benard Baikan, 22, berjaya merealisasikan impiannya untuk bergelar pereka fesyen pada usia muda. Walaupun hanya menjalankan perniagaan di rumah, rekaan baju­nya boleh dikategorikan setaraf dengan rekaan di butik ter­kenal dan mahal.

Mvenurut gadis kelahiran Sabah ini, bakatnya dalam bidang ini disedari keluarganya ketika dia berusia sembilan tahun. Dia sering mengambil kain ibunya tanpa kebenaran dan menggunting serta menjahit baju untuk anak patungnya.

Walaupun dimarahi ibunya, bagi Mary Jane itu bukan penghalang untuknya meneruskan hobi menjahit dan mengambil inisiatif menjahit menggunakan karung guni.

Ketika usianya 18 tahun, Mary Jane mengambil keputusan menyambung pengajian dalam bidang pereka fesyen di sebuah kolej swasta di Kota Kinabalu, Sabah.

Sepanjang pengajiannya, minat untuk belajar mereka dan menjenamakan pakaiannya sendiri sangat mendalam. Semangat yang berkobar-kobar dan sentiasa meminta tunjuk ajar pensyarah menjadikannya berjaya seperti hari ini.

“Buat masa sekarang, saya hanya menjalankan perniagaan di rumah kerana masih mengumpul duit untuk membuka butik sendiri. Modal perniagaan pula dibantu keluarga sebanyak RM5,000 untuk membeli mesin jahit dan fabrik. Sebagai permulaan, sepasang gaun berharga RM150 hingga RM600. Saya tetapkan harga yang murah kerana pelanggan belum tahu kualiti saya menjahit.

“Saya tidak mengira untung semata-mata kerana akan merasai kepuasan luar biasa apabila pelanggan suka dengan apa yang saya buat.

“Untung yang dapat dikira bonus untuk usaha saya. Apa yang penting, saya mahu mengumpul lebih banyak pengalaman dan fokus berniaga di rumah sebelum bersedia membuka butik sendiri,” kata pelajar lepasan Diploma Pereka Fesyen di Kolej Cosmpoint Kota Kinabalu, ini.

Menurutnya, dia mempunyai lebih 80 pasang koleksi pakaian peribadi dan gaun yang disimpan sejak zaman belajar sehingga kini. Malah, lebih 40 pasang yang dijual kepada pelanggannya yang antaranya terdiri daripada pakaian tradisional, gaun perkahwinan, santai dan kostum kanak-kanak.

“Bila saya lihat koleksi yang ada, saya rasa puas hati dan bertekad mempelbagai dan menghasilkan rekaan lebih bagus. Fabrik yang saya gunakan kualitinya sama seperti di butik terkenal. Sebab itu maklum balas daripada pelanggan saya semuanya positif dan belum ada lagi yang menghampakan,” kata anak bongsu daripada tujuh beradik ini.

Kata Mary Jane lagi, dalam masa sebulan dia boleh menjahit dua pasang gaun perkahwinan. Jadi tidak hairanlah jika ada pelanggan yang memintanya menjahit gaun pada saat-saat akhir dia masih menerimanya.

“Campuran elemen tradisional dan moden menjadikan rekaan gaun saya lebih unik dan kreatif. Ditambah dengan jahitan manik dan fabrik berkualiti tinggi, pelanggan pasti akan meminta saya membuat lagi baju untuk mereka.

“Adakalanya pelanggan akan minta saya buat baju pada saat-saat akhir, saya boleh siapkan dalam masa dua hari saja, tetapi saya perlu fokus dan tidak tidur semalaman. Namun, saya akan meminta pertolongan anak buah dan ibu untuk membuat kerja mudah seperti membuka jahitan dan jahit manik jika masa terlalu singkat.

“Memandangkan saya menjahit di rumah dan selalu dibantu anak buah, mereka juga kelihatan terjurus ke arah minat yang sama. Kadang-kadang mereka meminta kain dan menjahit baju untuk anak patung mereka. Mereka juga suka menjadi model rekaan pakaian terbaru saya untuk persembahan fesyen dan sebagainya,” katanya.

Meskipun persaingan sengit dia tidak pernah berputus asa dan sentiasa meng­iklankan di laman sosial, rakan dan saudara-mara yang dia menerima tempahan baju untuk semua majlis mengikut rekaan yang mereka mahu. Mary Jane juga akan minta pelanggannya datang mencuba gaun mereka sebelum dihantar ke rumah supaya dia dapat beri yang terbaik.

Menurut Mary Jane, menjahit sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya, jadi untuk menjadi seorang pereka fesyen muda terbaik dia perlu tekun dan komited jadi yang terbaik. Justeru itu, selain menjahit pakaian dan gaun, dia juga turut mereka kasut daripada manik.

“Bagi mereka yang mempunyai bakat, apabila kita minat untuk mereka sesuatu mengapa tidak mula dengan belajar menjahit. Sebab ia adalah inisiatif kita untuk mereka sesuatu, kreativiti kita sendiri dan bakat itu boleh diasah,” katanya yang bercita-cita mereka pakaian untuk Ning Baizura suatu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 4:07 PM