Kuala Lumpur: Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN) berjaya melaksanakan kira-kira 90.5 peratus pendekatan bersepadu sehingga Mac lalu dalam usaha untuk merealisasikan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) menjelang akhir tahun ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, 457 daripada 505 pendekatan sudah dilaksanakan dan ASEAN berada pada kedudukan terbaik untuk mencapai sasaran 95 peratus dalam tempoh lapan bulan akan datang.

Menurutnya, pelaksanaan pendekatan terbabit merangkumi tarif, pelaburan, perkhidmatan, pengangkutan udara, perkhidmatan kewangan serta standard dan prosedur kastam.

“Sebanyak 9.5 peratus pendekatan yang tidak dilaksanakan lagi adalah termasuk pakej perkhidmatan ke-10, skim pensijilan diri tunggal, hubungan dengan Jepun dan gerbang tunggal ASEAN,” katanya selepas menghadiri sesi plenary Invest Malaysia 2015, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 5:02 AM