ONG (dua dari kanan) bersama timbalannya, Datuk Ahmad Maslan (kanan),  Abdul Jalil  (kiri) dan  Madani (dua dari kiri) melawat ruang pameran kereta selepas merasmikan Pameran NST-MAI ASEAN Autoshow 2015 di Kuala Lumpur, semalam.
ONG (dua dari kanan) bersama timbalannya, Datuk Ahmad Maslan (kanan), Abdul Jalil (kiri) dan Madani (dua dari kiri) melawat ruang pameran kereta selepas merasmikan Pameran NST-MAI ASEAN Autoshow 2015 di Kuala Lumpur, semalam.
Oleh Hafiz Ithnin

Seri Kembangan: Industri automotif negara dijangka lebih bersifat kompetitif sekiranya Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) disertai Malaysia memandangkan harga pasaran kenderaan dan komponen berkaitannya akan menjadi lebih murah berbanding ketika ini berikutan pasaran yang bersifat lebih terbuka.

Malah, faktor penurunan harga pasaran kenderaan bukan saja bergantung kepada TPPA, ia juga berkaitan dengan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang mana pemain industri dari negara terbabit dapat menembusi pasaran asing dengan lebih mudah tanpa halangan dagangan seperti cukai dan kastam.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, sekiranya Malaysia menyertai perjanjian itu, pemain industri automotif tempatan terutama membabitkan syarikat pengeluar komponen mampu menembusi pasaran asing yang lebih luas seperti Amerika Syarikat.

Beliau berkata, secara amnya TPPA memberi akses mudah dalam perdagangan membabitkan tiga perkara utama iaitu pelaburan, perkhidmatan dan barangan yang membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

“Selain itu, sekiranya perjanjian perdagangan itu disertai Malaysia, pemain industri tempatan perlu lebih agresif dan kompetitif untuk bersaing dengan pemain industri asing, sekali gus bakal memberi manfaat kepada kedua-dua pihak untuk menawarkan barangan lebih baik kepada pengguna.

“Antara situasi dagangan dalam industri automotif yang memberi manfaat kepada negara yang menyertai TPPA ialah kita boleh menjual ke pasaran asing tanpa halangan dagangan tertentu dan juga mampu menarik lebih ramai pemain industri asing suntik pelaburan ke Malaysia,” katanya selepas merasmikan Pameran NST-MAI ASEAN Autoshow 2015 di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarang Urusan Kumpulan New Straits Times Press Berhad (NSTP), Datuk Abdul Jalil Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Madani Sahari.

Pameran NST-MAI ASEAN Autoshow 2015 yang berlangsung bermula 12 sehingga 15 November ini adalah kerjasama antara NST dan MAI yang mana terdapat lebih 150 pempamer daripada pemain industri automotif antaranya pameran kereta, karavan dan bas.

Pengunjung juga berpeluang untuk membawa pulang pelbagai hadiah dengan nilai keseluruhan RM200,000 dalam cabutan bertuah yang diadakan apabila mereka membeli tiket masuk berharga RM8.

Hadiah utama cabutan bertuah ialah sebuah kereta Peugeot 208 bernilai RM85,000 dan bagi pemenang kedua dan ketiga akan membawa pulang motosikal Modenas bernilai RM5,000 dan produk Ninebot One.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 6:38 AM