MUHYIDDIN berucap pada pertemuan meja bulat dengan 30 pemain industri di Itali.
MUHYIDDIN berucap pada pertemuan meja bulat dengan 30 pemain industri di Itali.

Milan: Tan Sri Muhyiddin Yassin menggalakkan masyarakat perniagaan Itali untuk melihat Malaysia sebagai laluan masuk mereka kepada pasaran ASEAN yang luas.

“Dari segi geografi, Malaysia terletak secara ideal dalam wilayah itu. Dari segi perhubungan, kami tiada tandingan. Dari segi polisi, pendekatan Malaysia yang berhati-hati dan mesra perniagaan sudah mendapat pengiktirafan meluas dunia.

“ASEAN bakal menjadi kuasa lebih besar dalam arena ekonomi global menerusi pelaksanaan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) akhir tahun ini,” katanya pada rundingan meja bulat dengan kapten industri Itali, di sini, kelmarin.

Beliau berkata, potensi ASEAN adalah besar dengan pasaran serantau bersepadu lebih 600 juta orang dan tanpa tarif bagi hampir semua barangan yang boleh diperdagangkan kerana AEC mahu mencipta pasaran tunggal dan pangkalan pengeluaran.

“Gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) semasa ASEAN yang melebihi AS$2.3 trilion (RM8.2 trilion) sudah menduduki ranking kelapan terbesar dunia.

“Ia adalah menggalakkan untuk mendapati pelabur Itali turut sedang memperkembang dan mempelbagai operasi sedia ada mereka, menggambarkan keyakinan mereka kepada Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia mengalu-alukan lebih banyak syarikat Itali yang memiliki pelaburan berkualiti dalam teknologi baharu termasuk kecekapan tenaga dan e-mobiliti serta sektor bernilai tinggi seperti ICT, analitik data, reka bentuk dan pembangunan.

Pada masa ini, kehadiran pelabur Itali adalah kukuh dalam sektor berkaitan produk petroleum termasuk petrokimia, produk getah, jentera dan peralatan, produk buatan logam dan produk elektronik serta elektrikal. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 8:41 AM