TONY (dua dari kanan) bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed pada majlis pelancaran ASEAN Pass.
TONY (dua dari kanan) bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed pada majlis pelancaran ASEAN Pass.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: AirAsia Berhad menyokong pembangunan pelancongan di Asean dengan melancarkan pas perjalanan udaranya, AirAsia Asean Pass.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pas itu membolehkan pelancong memanfaatkan kredit yang dibeli bagi menempah penerbangan pada kadar tetap untuk laluan terpilih di seluruh Asean.

Asean Pass dilancarkan secara komersial pada Januari 2015 dan tersedia dalam dua pilihan, pertama berharga RM500 dengan 10 kredit dan setiap kredit bernilai RM50, manakala pilihan kedua menyediakan lebih nilai berharga RM900 bagi 20 kredit.

“Pemegang AirAsia Asean Pass boleh menempah penerbangan lebih 137 laluan sekitar Asean dengan kredit terbabit yang memberi lebih nilai kerana mereka dijamin boleh terbang dengan kadar tambang rendah dalam Asean,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, dengan kebangkitan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) dan pembangunan Dasar Langit Terbuka Asean, AirAsia sangat berbesar hati mempromosi integrasi Asean bagi membantu menghubungkan komuniti Asean.

Tony berkata, pasaran penerbangan Tunggal Asean (ASAM) sesuatu yang diambil serius dan pihaknya yakin dengan pengenalan Asean Pass akan meningkatkan perjalanan udara antara komuniti Asean serta menarik pelancong asing ke rantau ini.

“Cara paling mudah bagi berhubung di Asean melalui udara dan cabarannya bagi menawarkan perjalanan udara yang berpatutan dan AirAsia merealisasikan janji setakat ini menerusi pengenalan Asean Pass,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan mengumumkan senarai laluan yang ditawarkan tidak lama lagi dan ia akan dipamerkan dalam Asean Pass bermula dari 1 kredit hingga 8 kredit sehala.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:21 AM