Kuala Lumpur: Kelab Perniagaan ASEAN (ABC) komited untuk berkerjasama antara ahlinya untuk menghapuskan pelbagai cabaran perdagangan sesama anggota Asean dalam usaha menyokong pelaksanaan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang bakal dimuktamadkan akhir tahun ini.

ABC yang dianggotai pemimpin tertinggi entiti korporat ASEAN ditubuhkan bagi mencapai integrasi dalam dagangan serantau dan mengutamakan keberhasilan pelaksanaan AEC kepada pemain industri sendiri.

Presidennya Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid berkata, bagi melaksanakannya, pihaknya sudah bekerjasama dengan beberapa firma kajian bebas antaranya Frost & Sullivan, AT Kearney dan Accenture bagi menyediakan laporan mengenai cabaran perdagangan dalam bentuk bukan takrif.

Beliau berkata, laporan itu yang dijangka dapat disiapkan pada November ini akan diserahkan kepada pembuat dasar anggota ASEAN.

“Laporan berkenaan memfokuskan mengenai halangan dagangan yang dihapuskan atau belum dihapuskan sebelum laporan itu dikeluarkan.

“Ia juga akan mengetengahkan isu cabaran yang dihadapi oleh pemain industri atau peniaga di ASEAN dalam dagangan di rantau ini,” katanya pada taklimat media sempena Forum ABC di sini, semalam.

Forum ABC yang bakal diadakan pada 14 Mei di Singapura adalah kali ketiga diadakan dengan tema Landasan Ke ASEAN yang memfokuskan kepada enam sektor utama antaranya perkhidmatan kewangan, pasaran modal, peruncitan, pengangkutan udara, pelancongan dan kesihatan.

Munir berkata, pihaknya memfokuskan kepada sektor berkenaan memandangkan ia adalah yang diberi keutamaan dalam ASEAN.

“Pada masa sama, ABC juga akan melakukan penilaian serta kajian semula kepada sektor perkhidmatan kewangan dan pasaran modal, peruncitan, automotif, pembuatan serta infrastruktur bagi membolehkan kerajaan menghapuskan halangan perdagangan dalam kalangan ASEAN,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2015 @ 8:31 AM