Kuala Lumpur: CIMB menjalin kerjasama dengan Economist Intelligence Unit (EIU) melancarkan laporan khas mengenai Merangka Semula Peta Asean: Bagaimana Syarikat Merangka Strategi Baru di Asia Tenggara.

Ketua Ekonomi dan Pengarah Asia Tenggara Rangkaian Korporat Ekonomi, Justin Wood berkata, laporan berkenaan adalah sebagai persiapan syarikat bagi menghadapi Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) pada 31 Disember nanti.

“Kami menjalankan kaji selidik ke atas 170 perniagaan di ASEAN di mana 76 peratus daripadanya mempunyai strategi bagi rantau ini.

“Apa yang lebih menarik adalah 81 peratus syarikat bukan Asean turut mengguna pakai strategi ASEAN,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi CIMB Bank, Datuk Seri Nazir Razak berkata, laporan berkenaan turut menjadi panduan kepada pihaknya menerajui perniagaan di rantau ini.

“CIMB sudah bersedia untuk ASEAN dan mempunyai 41,000 kakitangan di setiap pasaran di rantau ini termasuk cawangan fizikal dan ATM.

“Dari aspek perundingan, perbankan pelaburan, perdagangan kewangan dan keupayaan pasaran, kami adalah yang terbaik untuk membantu syarikat lain mengenali pasaran ASEAN,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga akan terus memberi sokongan kepada pelaksanaan AEC khususnya selepas membuat pelaburan signifikan untuk pasaran ASEAN.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 6:19 AM