AFP

London: Manchester City mengukuhkan cengkaman di tempat keempat Liga Perdana apabila menang 2-0 ke atas West Ham malam tadi namun kegembiraan mereka sedikit tergugat apabila David Silva mengalami kecederaan hingga terpaksa diusung keluar.

Tonggak Sepanyol itu terkena siku pemain West Ham Cheikhou Kouyate ketika pertengahan babak kedua dan wujud kebimbangan sama ada dia mampu meneruskan baki saingan musim ini atau tidak.

Impian City untuk mempertahankan gelaran juara Liga Perdana dianggap sudah berakhir selepas tewas 2-4 di tangan Manchester United minggu lalu.

Begitupun, kemenangan malam tadi membolehkan mereka kini ketinggalan hanya satu mata di belakang United dan tujuh mata mengatasi pasukan di tangga kelima, Liverpool.

Bagi City yang sedang dilanda krisis kecederaan serta pengurus Manuel Pellegrini yang semakin tertekan, kemenangan malam tadi hadir tepat pada masanya.

City menguasai permainan di Etihad dan mereka dilihat berjaya menakluk Hammers sejak wisel permulaan. City berada di depan pada minit ke-18 apabila pertahanan West Ham James Collins menjaringkan gol sendiri ketika cuba mengeluarkan bola hantaran lintang Jesus Navas.

Kualiti City tidak boleh dipertikaikan ketika gol kedua yang hadir sembilan minit sebelum rehat dan Navas sekali lagi menjana gerakan itu.

Ia bermula apabila Yaya Toure merampas bola dari pemain West Ham dan pemain sayap England Stewart Downing memulakan serangan balas pantas.

Sergio Aguero yang menerima bola dari Downing, bertukar hantaran dengan Navas sebelum menghasilkan jaringan tanpa mampu diselamatkan penjaga gol pelawat, Adrian.

Kekalahan itu bermakna West Ham hanya menang dua daripada 16 perlawanan liga terakhir sekali gus meningkatkan tekanan buat pengurus Sam Allardyce.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 8:03 AM