DUA gol Kane (dua kanan) pastikan Spurs tidak ketinggalan mata. - Foto REUTERS
DUA gol Kane (dua kanan) pastikan Spurs tidak ketinggalan mata. - Foto REUTERS
AFP

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino menyatakan beliau “jatuh cinta” dengan Harry Kane selepas penyerang berbisa itu meledak gol keenam dalam empat perlawanan.

Dua gol Kane membantu Spurs menang 3-2 di West Ham United yang membantu memastikan mereka tidak berdepan risiko kehilangan mata lagi di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City dan Manchester United.

Pochettino berkata, persembahan penyerang itu mengukuhkan pandangannya bahawa pemain kebangsaan England itu satu daripada penyerang terbaik di dunia dan berhak mendapat pujian.

 POCHETTINO (kanan) akui Kane antara penyerang terbaik di dunia.  - Foto AFP
POCHETTINO (kanan) akui Kane antara penyerang terbaik di dunia. - Foto AFP

“Dia seorang daripada penyerang terbaik di mana-mana, bukan hanya di England. Saya sukar untuk mencari kata-kata bagi menggambarkannya. Saya jatuh cinta seperti penyokong jatuh cinta, seperti juga rakan sepasukannya yang jatuh cinta.

“Dia seorang yang merendah diri, dia mengekalkan nilai-nilai yang mana pengurus seperti saya amat hargai. Itulah sebabnya saya jatuh cinta kepadanya dengan alasan berbeza.”

Ia kemenangan ketiga di laman lawan Tottenham dalam kempen kali ini, rekod yang jelas bertentangan dengan masalah mereka di laman sendiri apabila mereka meraih hanya dua mata daripada tiga aksi pertama di Wembley.

“Kini kami perlu mula berasa bagus di Wembley, untuk menjadikannya berasa seperti di laman sendiri,” kata Pochettino, pasukannya di tangga keempat kedudukan liga. “Cabaran berikutnya adalah untuk menang di sana.”

Kane menyumbat dua gol dalam tempoh empat minit pada babak pertama di Stadium London dalam aksi awal malam tadi unttuk membantu Tottenham menguasai pertembungan dengan jiran London itu sebelum Christian Eriksen menambah gol ketiga selepas sejam.

Namun pasukan Pochettino terpaksa berdepan saat genting selepas Javier Hernandez memulakan kebangkitan West Ham dengan tandukan pada minit ke-65.

Pertahanan Spurs, Serge Aurier dibuang padang kerana mengutip kad kuning kedua pada minit ke-70 dan Cheikhou Kouyate mencetus harapan buat West Ham untuk meraih satu mata dengan satu lagi tandukan pada minit ke-87.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2017 @ 12:59 PM