BOCIK yang dianggotai Abam dan Fad bersama artis jemputan Afdlin Shauki.
BOCIK yang dianggotai Abam dan Fad bersama artis jemputan Afdlin Shauki.
PESERTA selepas persembahan konsert minggu pertama.
PESERTA selepas persembahan konsert minggu pertama.
GANDINGAN mantap Achey bersama Ben Laden.
GANDINGAN mantap Achey bersama Ben Laden.
Oleh Nor Akmar Samudin


Achey tidak menyangka kemunculan solonya pada pertandingan Qu Puteh Bintang Mencari Bintang (QPBMB) memberi tuah kepadanya apabila dia muncul pelawak pertama menang hadiah mingguan RM10,000 dalam konsert minggu pertama QPBMB di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam baru-baru ini.

Dalam konsert itu, Achey menewaskan lima kumpulan lain iaitu Bocik, Chilok, Kepoh, Sumbu dan Titan.

Pertandingan yang tiada penyingkiran itu juga menyediakan hadiah RM50,000 kepada peserta bergelar juara.

Menurut Achey, pada setiap pertandi­ngan dia tidak pernah mengang­gap diri sedang bertanding, sebaliknya naik ke pentas dengan hasrat hanya menghiburkan penonton.

“Itulah yang menjadi pegangan saya setiap kali muncul dalam sebarang pertandingan dan hanya mahu memberikan yang terbaik kepada peminat. Selebihnya saya bergantung kepada nasib dan rezeki.

“Kalau menjadi, jadilah...kalau tak ia akan jadi sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, bukan mudah bagi seorang pelawak untuk membuat orang ketawa, begitu juga dengannya.

“Sehubungan itu dia memilih tidak mahu terlalu tertekan apabila bertanding dan lebih kepada santai serta berusaha memberikan kandungan komedi yang boleh mencuit hati penonton.

“Dalam QPBMB, semua orang tahu setiap minggu peserta akan berusaha untuk muncul juara bagi merebut hadiah wang tunai RM10,000. Kalau tak menang tidak mengapa kerana semua akan kekal sehingga ke peringkat akhir,” katanya.

Achey berkata, dia sebenarnya memilih Bocik yang dianggotai Fad dan Abam sebagai peserta pilihan kerana kumpulan itu memberikan persembahan yang baik dan menghiburkan dengan lawak mereka yang menjadi.

“Saya berasa agak gugup kerana dalam pertandingan sebelum ini kami bersatu sebagai Bocey, tetapi pada pentas BMB saya berjuang bersendirian. Apapun Alhamdulillah, rezeki saya untuk menang pertandingan minggu pertama ini,” katanya.

Pada malam itu, Achey muncul bersama selebriti jemputan, artis cilik Ben Laden dalam per­sembahan yang bertemakan sukan.

Persembahan peserta diadili menerusi 50 peratus juri profesional dan selebihnya undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

Pada konsert itu, Datuk Malek Noor dan Black muncul sebagai juri jemputan manakala juri tetap ialah pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Hasmiza Othman.

BMB yang disiarkan selama 10 episod menyaksikan enam peserta bertanding iaitu Achey, Bocik, Titan, Sumbu, Kepoh dan Chilok. Mereka berpeluang merebut hadiah wang tunai RM10,000 setiap minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 10:21 AM