CHILOK bawa pulang wang RM10,000.
CHILOK bawa pulang wang RM10,000.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Bergelar peserta ‘underdog’ tidak sedikit pun mematahkan semangat Kumpulan Chilok untuk terus memberikan persembahan terbaik di pentas akhir Qu Puteh Bintang Bersama Bintang (QPBBB) 2015 yang berlangsung semalam.

Berbanding tiga finalis lain iaitu Achey, Bocik dan Titan, populariti Chilok yang dianggotai Mohd Ilham Rusdy, 25, atau Achok dan Mohd Azwan Sabri, 29, atau Chiwan jauh ketinggalan. Tidak pernah terlintas di fikiran mereka akan dinobatkan sebagai juara.

“Sasaran kami adalah beraksi di pentas akhir. Tidak terfikir langsung akan menang. Kami hanya menghiburkan juri dan penonton selebihnya kami berserah.

“Kalau bercakap soal populariti, kami jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan tiga finalis lain. Setiap minggu sebelum membuat persembahan kami akan intai dahulu ada atau tidak peminat datang menyokong kami, tetapi tiada,” kata Achok.

Perkara itu bagaimanapun tidak sedikit pun buat mereka berjauh hati kerana yakin selepas ini Chilok pasti ada peminat tersendiri.

“Bak kata juri, ada minggu kami boleh menang, tetapi disebabkan tidak ada undian peminat kami tewas. Apa pun, kami anggap ini kemenangan bermaruah kami,” katanya.

Menerusi sketsa bertemakan puasa dan raya Chilok sekali lagi mengundang Sharif daripada Kumpulan Zero dan pilihan itu ternyata tepat apabila juri awam yang mewakili 20 peratus daripada markah keseluruhan memberikan 19 markah.

Kemenangan yang diraih sekali gus melayakkan Chilok membawa pulang wang tunai RM50,000.

Sebelum itu, pada minggu ketujuh mereka pernah menang dan menerima hadiah wang tunai RM10,000.

Pertandingan diadili tiga juri tetap iaitu Datuk Seri Vida, Fauziah Ahmad Daud (Ogy) dan Ajai. Format penjurian pada malam kemuncak berbeza daripada minggu sebelumnya apabila 50 peratus daripada juri, 30 peratus undian SMS dan 20 peratus lagi juri awam.

Program yang dihoskan Yana Samsuddin dan AG itu turut mengumumkan Achey sebagai pemenang kategori sketsa promosi produk Vida Beauty yang dimuat naik ke laman YouTube dan menerima hadiah wang tunai, RM5,000 manakala Titan pun mendapat tempat kedua (RM2,000). Kedua-dua pemenang dipilih pengasas Vida Beauty, Vida.

Sementara itu, Achey yang diramal bakal bergelar juara akur apabila kemenangan berpihak kepada Chilok.

“Saya tak rasa kecewa pun apabila kalah. Mung­kin kerana saya tidak letakkan harapan tinggi untuk menang dan ramalan itu datang daripada peminat.

“Sebagai peserta solo, saya perlu sentiasa tampil dengan idea segar. Ia sangat mencabar,” katanya yang menang empat kali pada acara mingguan sekali gus melayakkannya menerima RM40,000.

Penerbit Eksekutif Muhammad Sufian Che Isa berkata awal penganjuran ada peserta tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kerana terikat dengan jadual kerja lain.

Namun selepas dikritik juri ada peningkatan dalam persembahan barisan peserta.

“Masuk minggu keenam hingga pentas akhir barulah nampak kualiti dalam persembahan setiap peserta,” katanya.

Menurut Sufian juga, pihaknya masih mempertimbangan sama ada akan meneruskan QPBBB.

“Kalau Datuk Seri Vida sudi menaja lagi, Insya-Allah kita akan teruskan program ini tahun depan. Kami juga merancang menerbitkan Bintang Mencari Bintang musim ketiga.

“Saya berharap program ini dapat menaikkan nama Chilok dan diterima peminat sebagai satu lagi legasi lawak yang tidak patut dipersia-siakan,” katanya.

Lawak di luar kotak

Selaku juri tetap QPBBB, Vida tidak menafikan Chilok layar bergelar juara.

“Menjadi peserta pertama yang membuat persembahan, lawak mereka sangat bagus. Mereka menang bukan sebab menjadikan juri sebagai ‘bahan’, tetapi mesej yang diketengahkan sangat bertepatan dengan tema Puasa dan Raya. Mereka berjaya menonjolkan lawak di luar kotak,” katanya.

Seniwati ternama, Ogy turut memuji Chilok kerana berjaya menggarap jalan cerita dengan sempurna.

“Walaupun mereka peserta ‘underdog’, ja­ngan pandang sebelah mata. Saya suka persembahan mereka malah mesej lawak mereka di luar kebiasaan.

“Saya tidak menjangkakan kemenangan ini, tetapi disebabkan mereka konsisten dari awal sehingga akhir persembahan, mereka layak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 1:42 PM