Uvea ialah struktur mata merangkumi anak mata, otot anak mata dan juga lapisan choroid yang melapisi belakang retina mata. Kawasan ini sungguh rumit kerana terletak di bahagian tengah mata dan mengawal kemasukan cahaya ke dalam mata manusia. Kawasan ini boleh mendapat jangkitan atau radang dan ia dipanggil uveitis.

Radang ini jarang berlaku, tetapi ia perlu dikenal pasti seawal mungkin untuk mengelak komplikasi yang tidak diingini. Ini kerana radang pada uvea atau uveitis menyumbang kepada 10 hingga 20 peratus kes yang mengakibatkan pesakit menjadi buta di Amerika Syarikat. Jika lewat dirawat, risiko pesakit menjadi buta adalah tinggi. Uveitis boleh disebabkan oleh pelbagai faktor.

Sama ada ia disebabkan oleh radang akibat penyakit auto imun atau jangkitan kuman. Radang auto imun terjadi di mana badan menghasilkan sistem immunasi yang menyerang tisu badan, termasuk uvea.

Contohnya seperti pesakit rhemathoid arteritis, arteritis juvenile, psoriasis dan beberapa jenis penyakit serangan autoimmune lain. Jangkitan kuman sama ada bakteria atau virus boleh menyerang kawasan uvea. Ini boleh berlaku apabila sistem imunisasi badan manusia menghasilkan antibodi untuk menyerang kuman berkenaan dan akhirnya menyebabkan radang pada kawasan uvea, seterusnya uveitis berlaku.

Contoh jangkitan yang boleh mengakibatkan uveitis ialah kencing tikus, sifilis, tuberkulosis dan beberapa jangkitan lain.

Pada awalnya, sukar untuk doktor di klinik mengenal pasti ia adalah radang pada uvea atau uveitis. Ini kerana simptomnya hampir sama dengan jangkitan mata biasa.

Pesakit akan mengalami mata kemerahan, silau atau sensitif pada cahaya, penglihatan menjadi kabur, sakit pada bahagian mata dan kepala, bentuk anak mata menjadi tidak sekata dan juga kelihatan objek seoalah-olah terapung dan bergerak dalam mata.

Apa yang membezakan ia deĀ­ngan jangkitan mata biasa ialah, bagi kebanyakan pesakit yang mengalami uveitis, mata mereka tidak bertahi, tetapi hanya merah. Radang ini tidak boleh diubati dengan ubat titis biasa dan pesakit akan datang selepas beberapa hari dengan simptom sama.

Oleh itu, doktor yang merawat pesakit di klinik perlu mengenal pasti sama ada wujud radang pada uvea pesakit untuk mengelak terus memberikan rawatan yang tidak sepatutnya kepada pesakit.

Bentuk anak mata yang tidak sekata dan kawasan depan anak mata yang tidak jernih memberi petanda ada kemungkinan pesakit mengalami masalah ini.

Sangat penting jika pesakit dirujuk ke pakar mata untuk pemeriksaan lanjut bagi mengesahkan radang ini selain melihat komplikasi atau jangkitan lain di sekitar bola mata pesakit.

Selepas pesakit disahkan menghidap uveitis, ujian darah akan dilakukan untuk mengenal pasti punca pesakit mendapat uveitis. Ubat khas mengandungi anti radang sesuai akan diberi sama ada menggunakan ubat titis, ubat makan atau suntikan.

Selain itu, jika ia disebabkan jangkitan, ubat khas untuk melawan jangkitan bakteria atau kuman akan diberi. Komplikasi yang tidak diingini boleh dielak jika pesakit dirujuk awal kepada pakar mata dan masalah dikenal pasti pada peringkat awal.

Antara komplikasi yang boleh berlaku ialah glaukoma iaitu peningkatan tekanan pada bola mata, katarak, bengkak pada bahagian sensitif retina mata yang akhirnya boleh menyebabkan buta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 5:03 AM