PEMERIKSAAN mata.
PEMERIKSAAN mata.
Oleh Zaitie Satibi


Perwatakan seseorang boleh dibaca melalui matanya kerana pandangan dan gerak-geri mata membawa pelbagai erti dan maksud tersirat.

Orang yang matanya kecil dikatakan peramah, orang yang matanya lebar dikatakan kuat berahsia, orang yang matanya selalu berkedip dikatakan pemaaf, manakala orang yang matanya redup dikatakan pemarah.

Apapun bentuk mata mereka fungsinya tetap sama iaitu untuk melihat dan tanpa deria ini dunia menjadi gelap. Tidak dinafikan penglihatan itu satu anugerah Tuhan yang terlalu banyak kepentingan dan manfaatnya.

Oleh itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Khamis kedua Oktober setiap tahun sebagai tarikh sambutan Hari Penglihatan Sedunia. Sambutan ini yang dimulakan sejak 2005 diadakan untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat dunia berkenaan dengan kebutaan, kecacatan penglihatan dan rehabilitasi

kecacatan penglihatan.

Tahun ini, sambutan Hari Penglihatan Sedunia bertemakan Tiada Lagi Kebutaan Yang Tidak Dapat Dicegah. Matlamat utama tema berkenaan boleh dicapai melalui perancangan dan aktviti yang dijalankan secara berterusan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan seorang penduduk dunia akan menjadi buta dalam setiap lima saat, manakala seorang kanak-kanak buta dalam setiap minit. Berikutan itu, dianggarkan tujuh juta penduduk dunia menjadi buta setiap tahun.

Kajian juga menunjukkan peratus kanak-kanak menderita myopia atau rabun jauh meningkat pada kadar membimbangkan terutama di kalangan mereka yang tinggal di kawasan pendalaman Asia Timur.

Di kawasan negara membangun seperti Singapura dan Taiwan pula bilangan remaja berusia 18 tahun yang menghidap myopia pula mencecah 85 peratus.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan mengambil inisiatif untuk memperkasakan aktiviti promosi penjagaan kesihatan mata yang beterusan kepada orang ramai dalam usaha mencegah dan mengawal kebutaan di kalangan rakyat.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, mengikut statistik terkini WHO seramai 285 juta penduduk dunia hidup dalam kebutaan atau mengalami kecacatan penglihatan pada tahun 2010.

"Seramai 39 juta penduduk dunia adalah buta, manakala 246 juta orang lagi mengalami masalah kurang penglihatan tahap sederhana dan teruk.

"Dalam jumlah ini, kira-kira 80 peratus penduduk dunia yang mengalami kebutaan dan kecacatan penglihatan ini sebenarnya dapat dielakkan kerana buta yang dapat dielakkan adalah buta yang boleh dirawat atau dicegah dengan mencari punca penyakit terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada kempen kesedaran kesihatan mata anjuran Focus Point sempena Hari Penglihatan Sedunia di ibu negara, baru-baru ini.

Dr Hilmi berkata, berdasarkan Kajian Mata Kebangsaan 1996 punca utama kebutaan di Malaysia pada waktu itu adalah katarak apabila mencatat 39.1 peratus penduduk mengalaminya. Ini diikuti penyakit retina sebanyak 24.5 peratus, ralat refraktif atau rabun sebanyak 4.1 peratus, penyakit kornea sebanyak 3.4 peratus dan glaukoma sebanyak 1.8 peratus.

"Penyebab utama masalah kurang penglihatan pula adalah ralat refraktif atau rabun apabila kajian berkenaan mencatatkan sebanyak 48 peratus penduduk mengalaminya dan diikuti katarak seba­nyak 36 peratus.

"Kajian yang dilakukan 15 tahun lalu itu juga menunjukkan bahawa penyebab utama kebutaan yang boleh dicegah adalah membabitkan masalah kesilapan refraksi atau rabun, katarak, glaukoma dan penyakit retina.

"Kini, kerajaan sedang menjalankan Kajian Mata Kebangsaan II yang sudah pun bermula di Alor Setar, Kedah, pada September lalu dengan kerjasama Perkhidmatan Oftalmologi Kebangsaan, Institut Kesihatan Umum dan Pusat Pe­nyelidikan Klinikal.

"Dalam kajian kali ini, tumpuan diberikan kepada populasi yang berusia 50 tahun ke atas untuk mengetahui kadar dan punca kebutaan di negara ini," katanya.

Pada masa ini, perkhidmatan oftalmologi disediakan di 40 hospital kerajaan dengan bilangan pakar oftalmologi adalah seramai 145 orang, manakala bilangan subkepakaran pula adalah 70 orang. Seramai 270 pegawai optometri juga ditugaskan bersama pakar berkenaan bagi mengesan kes katarak dan masalah mata yang boleh memberi kesan kepada penglihatan seseorang individu.

Kementerian Kesihatan juga membangunkan perkhidmatan Klinik Katarak 1Malaysia (KK1M) yang beroperasi menggunakan bas bagi mengesan dan merawat pesakit katarak di kawasan luar bandar membabitkan Pahang, Terengganu dan Kelantan serta Sarawak.

Sebanyak 940 pembedahan katarak dilakukan menerusi perkhidmatan ini yang bermula pada tahun 2013 sehingga September lalu, manakala seramai 31,917 penduduk pula menjalani saringan pemeriksaan mata.

"Kementerian juga mewujudkan Pengakalan Data Mata Kebangsaan yang mengandungi beberapa registries seperti pembedahan katarak, retinoblastoma, diabetic eye dan age related macular degeneration.

"Selain itu, ia juga memberi kemudahan perfomance monitorng, service monitorin dan surveillance yang secara tidak langsung dapat membantu pihak kementerian, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pengamal rawatan kesihatan swasta dan industri dalam merangka dan menilai ke arah pencegahan, kawalan dan penambahbaikan perkhidmatan oftalmologi di Malaysia.

"Mengikut census pengkalan data ini, jumlah pembedahan katarak di seluruh hospital kerajaan meningkat dari 32,728 pada tahun 2012 kepada 37,151 kes pada tahuh 2013," katanya.

PENYAKIT MATA

-Glaukoma- penyakit mata yang menyebabkan kerosakan pada saraf optik membawa imej yang dilihat ke otak. Boleh menyerang sesiapa sahaja tetapi terdapat beberapa faktor meningkat­kan risiko menghidap glaukoma iaitu pertambahan usia, sejarah keluarga, rabun jauh, menghidap darah tinggi, kencing manis, migrain dan menggunakan ubat mengandungi steroid secara berterusan. Terdapat dua jenis glaukoma iaitu Sudut Tertutup dan Sudut Terbuka.

-Katarak- keadaan kanta mata yang jernih menjadi keruh akibat proses penuaan, kecederaan mata, penyakit tertentu atau pengambilan sesetengah jenis ubat. Ia perlu dibuang sekiranya kekurangan penglihatan menjejaskan aktiviti harian pesakit seperti memandu, membaca atau menonton. Katarak yang sudah matang perlu dibedah secepat mungkin sebelum terjadinya komplikasi seperti glaukoma atau radang mata.

- Lekangan Retina- Retina adalah lapisan nipis tisu saraf yang melapisi bahagian dalam mata dan amat sensitif pada cahaya. Apabila lekangan retina berlaku, lapisan retina akan terangkat dari kedudukan asal. Jika tidak dirawat dengan segera, ia akan menyebabkan kehilangan penglihatan yang kekal. Sesiapa sahaja berisiko mendapat lekangan retina, tetapi ia lebih kerap terjadi di kalangan golongan seperti orang yang mempunyai rabun jauh, berumur 50 tahun ke atas, pernah mengalami kecederaan yang teruk pada mata dan mempu­nyai sejarah keluarga yang mengalami lekangan retina.

-Mata Merah- mata yang merah menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan mata kita. Permukaan mata kelihatan merah disebabkan oleh saluran darah pada bahagian mata yang membesar dan bengkak. Tahap kemerahan tidak menggambarkan tahap keseriusan masalah. Tanda-tanda mata bermasalah adalah penglihatan menjadi kabur, sakit pada mata dan sakit apabila terdedah kepada cahaya. Antara punca mata merah dan sakit adalah ulser kornea, uveitis dan glaukoma akut.

-Ulser kornea- ulser yang berlaku pada selaput luar mata. Punca ulser kornea jangkitan kuman, kecederaan yang disebabkan oleh benda asing dalam mata atau trauma pada kornea seperti calar, mata kering, alahan mata yang teruk, kemakai kanta lekap terlalu lama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 November 2014 @ 5:00 AM