Riyadh: Kerajaan Arab Saudi akan memusnahkan kira-kira 96 kampung yang ditinggalkan penduduknya di sempadan supaya tidak disalahgunakan militan dari negara jiran, Yaman, tempat sasaran serangan udara negara itu ke atas pemberontak.

Menurut agensi berita Al-Hayat semalam, kira-kira 10 kampung sudah dimusnahkan sejak pakatan tentera diketuai Arab memulakan serangan udara ke atas pemberontak Houthi Syiah 26 Mac lalu.

Akhbar berkenaan memetik ketua keselamatan sempadan di kawasan terbabit, Hassan Aqili sebagai berkata, tindakan itu untuk menghalang rumah yang tidak didiami daripada menjadi tempat perlindungan militan.

Sebanyak 15,000 penduduk ditempatkan semula berikutan konflik 2009 hingga 2010 yang mengakibatkan pemberontak Houthi melintasi Saudi dari pertahanan mereka di utara Yaman.

Pemberontak terbabit menyebabkan Presiden Yaman Abed Rabbo Mansour Hadi lari ke Saudi bulan lalu apabila mereka memusnahkan tempat perlindungannya di selatan Aden selepas menawan ibu negara.

Tiga pengawal sempadan Saudi ditembak mati dengan penembak dari Yaman sejak Riyadh melancarkan serangan udara ke atas pemberontak yang disokong Iran. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 5:18 AM