YAMAN.
YAMAN.
AFP

Riyadh: Tentera udara Arab Saudi memintas dan memusnahkan 10 dron yang dilancarkan pemberontak Houthi di Yaman ke negara itu.

Menurut Saudi Press Agency, tujuh daripada dron itu menyasarkan selatan Arab Saudi.

Tiga dron pula disasarkan ke wilayah Khamis Mushait, juga terletak di selatan dan lokasi ketenteraan.

"Operasi pintasan berjaya," kata gabungan tentera diketuai Arab Saudi dalam satu kenyataan, sambil menambah dron itu dilengkapi bahan letupan dan tujuh daripadanya ditembak di ruang udara Yaman.

Yaman dalam konflik perang saudara antara kerajaan yang disokong Arab Saudi dan pemberontak Houthi yang disokong Iran, sejak 2014.

Ketika ini, jutaan rakyatnya di ambang kebuluran, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Tentera gabungan diketuai Arab Saudi mengawal ruang udara Yaman sejak ia melancarkan kempen ketenteraan di negara itu pada 2015, bagi mengangkat kerajaan yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Pemberontak Houthi berulang kali mendesak supaya lapangan terbang negara itu di Sanaa dibuka semula, sebelum gencatan senjata dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 10:11 AM