MOHD Azraai Khor
MOHD Azraai Khor
Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Saingan Liga Super bulan depan dianggap cukup kritikal buat semua 12 pasukan bersaing, tidak kira untuk merebut kejuaraan atau menyelamatkan diri daripada tersingkir.

Dengan lima perlawanan liga, ditambah empat aksi Piala Malaysia dalam tempoh empat minggu, ia bakal benar-benar menguji ketahanan setiap pasukan, apatah lagi selepas berehat panjang sepanjang Ramadan.

Ketika ini Johor Darul Ta’zim (Johor DT) memimpin liga selepas 13 perlawanan dengan 30 mata, kelebihan enam mata dengan pencabar terdekat Pahang dan Kedah.

Di zon penyingkiran pula pasukan tercorot Pulau Pinang memerlukan enam mata untuk berada di zon selamat manakala Melaka United, Sarawak dan PKNS FC turut bergelut di tangga bawahan liga.

Menurut bekas jurulatih skuad juara ‘double treble’ Kedah Mohd Azraai Khor Abdullah, susulan jadual yang dianggap antara paling padat dalam sejarah Liga Malaysia (Liga-M), saingan akan menjadi lebih terbuka dan sukar diramal.

“Kalau kita lihat jadual Julai, ada sembilan perlawanan, ikut pengalaman saya, ini kali pertama jadual padat seperti ini. Namun, mungkin ada sebab yang tidak dapat dielakkan dengan liga berehat panjang sebelum ini.

“Apa yang penting di sini adalah kebijaksanaan dan pengalaman jurulatih dalam merencanakan pasukannya dalam berdepan jadual padat ini. Kalau kita lihat Johor DT ada kelebihan mata, tapi kita tidak tahu bagaimana prestasi pasukan selepas cuti ini.

“Malah, Johor DT juga membuat pertukaran jurulatih menggantikan Benjamin Mora dengan Ulisses Morais jadi saingan masih sukar diramal. Berakhir saingan Julai ini, kita sudah boleh tahu calon juara dan siapa yang bakal tersingkir jadi tempoh ini memang kritikal,” katanya.

Menurut Azraai Khor yang pernah membimbing Kelantan, T-Team, Perak dan Negeri Sembilan pasukan yang bijak menggilirkan pemain dengan baik mempunyai kelebihan ketika kempen Piala Malaysia turut bermula bulan depan.

“Ada pasukan terpaksa melepaskan pemain utama untuk menyertai skuad muda negara bulan depan dan faktor ini juga memberi kesan kepada pasukan terbabit. Jadi cabaran buat pasukan bertambah rumit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2017 @ 12:09 PM