Budak perempuan empat tahun parah jatuh dari tingkat tujuh Blok B di Kuarters Perumahan Penjawat Awam Presint 14, petang tadi. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Budak perempuan empat tahun parah jatuh dari tingkat tujuh Blok B di Kuarters Perumahan Penjawat Awam Presint 14, petang tadi. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Oleh Siti A'isyah Sukaimi

Putrajaya: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun parah di kepala selepas terjatuh dari tingkat tujuh Blok B di Kuarters Perumahan Penjawat Awam Presint 14 di sini, hari ini.

Difahamkan, kejadian itu berlaku kira-kira 3 petang selepas kanak-kanak terbabit terpisah dengan ibu saudaranya ketika mahu menaiki lif.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid berkata, ibu saudara kanak-kanak terbabit tidak sempat menaiki lif bersama selepas pintunya tertutup.

"Ibu saudaranya segera mengejar mangsa menggunakan tangga untuk mencari mangsa namun, tidak sempat kerana kanak-kanak terbabit sudah terjatuh.

"Mangsa kemudian terus dibawa ke hospital dalam keadaan masih bernyawa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Razak berkata, ketika kejadian, ibu bapa kanak-kanak terbabit berada di rumah ibu saudaranya di kuarters berkenaan.

Katanya, setakat ini laporan polis berhubung tragedi itu belum dibuat dan beliau mengesahkan kejadian berkenaan.

Mangsa bersama keluarganya datang ke rumah ibu saudaranya di situ dan dia difahamkan dibawa ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 9:25 PM